Sunway rancang ambil alih IJM Corp dalam urus niaga tunai dan saham bernilai RM11 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunway rancang ambil alih IJM Corp dalam urus niaga tunai dan saham bernilai RM11 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 12 Jan - Sunway Bhd mengemukakan cadangan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat bernilai sehingga RM11 bilion bagi memperoleh kepentingan kawalan dalam IJM Corp Bhd, sekali gus berpotensi membentuk antara kumpulan pembinaan dan infrastruktur terbesar di Malaysia.

 

Dalam kenyataan hari ini Sunway berkata bagaimanapun tawaran itu tertakluk kepada penerimaan sekurang-kurangnya 50% ditambah satu saham daripada jumlah keseluruhan saham berhak mengundi IJM.

 

Di bawah terma cadangan tersebut, Sunway menawarkan RM3.15 bagi setiap saham IJM, dengan struktur pembayaran terdiri daripada 90% dalam bentuk saham Sunway dan 10% secara tunai.

 

 

 

 

 

Bagi menggambarkan tawaran itu, seorang pemegang saham IJM dengan 1,000 saham akan menerima kira-kira RM2,835 dalam bentuk saham Sunway, bersamaan 501 saham baharu Sunway yang dianggarkan pada harga RM5.65 sesaham, serta RM315 secara tunai.

 

Sunway memaklumkan bahawa bahagian tunai tawaran itu akan dibiayai melalui dana dalaman dan pinjaman, manakala bahagian saham melibatkan penerbitan saham baharu Sunway.

 

Memandangkan saiz transaksi tersebut mewakili 73.7% di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia, cadangan pengambilalihan itu memerlukan kelulusan pemegang saham Sunway pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).

 

Ia juga tertakluk kepada kelulusan Bursa Malaysia bagi penyenaraian saham baharu, serta kelulusan kawal selia lain yang berkaitan.

 

Sekiranya Sunway berjaya meningkatkan pegangan kepada lebih daripada 90% dalam IJM, syarikat itu boleh melaksanakan pengambilalihan wajib ke atas baki saham IJM selaras dengan peruntukan Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan.

 

Sunway turut menyatakan bahawa ia tidak bercadang untuk mengekalkan status penyenaraian IJM sekiranya syarikat tersebut gagal memenuhi keperluan pegangan saham awam selepas pengambilalihan dilaksanakan.

 

Sementara itu Presiden Sunway, Datuk Anuar Taib berkata cadangan pengambilalihan IJM Corp didorong oleh keperluan untuk mewujudkan sebuah syarikat berskala besar bagi memanfaatkan peningkatan aktiviti pelaburan di Malaysia.

 

“Dengan perubahan dinamik global dan ekonomi, akan terdapat banyak pelaburan masuk ke Malaysia. Skala biasanya membantu dari segi ketersediaan pembiayaan dan keupayaan yang boleh kami tawarkan,” katanya dalam taklimat kepada media hari ini.

 

 

 

 

 

 

Pada penutupan dagangan terakhir, saham Sunway didagangkan pada RM5.60, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM37.86 bilion, manakala saham IJM ditutup pada RM2.75, dengan nilai pasaran sekitar RM9.92 bilion.

 

Sekiranya dimuktamadkan, penggabungan Sunway–IJM dijangka mengukuhkan kedudukan kumpulan dalam sektor pembinaan, infrastruktur dan hartanah, selain berpotensi menyaingi pemain utama industri dari segi hasil dan skala operasi. - DagangNews.com