Kelemahan segmen industri, motor tekan keputusan kewangan Sime Darby pada 1QFY26 - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kelemahan segmen industri, motor tekan keputusan kewangan Sime Darby pada 1QFY26 - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 NovSime Darby Berhad melaporkan keputusan kewangan 1QFY26 yang sejajar jangkaan pasaran, dengan keuntungan teras sekitar RM335 juta, menurut analisis dua firma penyelidikan.


Bagaimanapun, prestasi kumpulan terus dipengaruhi kelemahan segmen industri akibat penghantaran tertangguh, manakala segmen motor masih lagi berdepan margin tertekan di tengah persaingan sengit.


Menurut mereka, sinar positif namun masih lagi hadir daripada peningkatan sumbangan anak syarikat milik penuhnya, UMW Holdings Berhad, yang membantu dalam mengimbangi beberapa kelemahan operasi.


Maybank Investment Bank menyifatkan keputusan 1QFY26 adalah selari ramalannya, merangkumi 26% daripada unjuran setahun penuh, dengan dua faktor utama menekan prestasi segmen industri


"Ia disebabkan penyusutan dolar Australia sebanyak 8%, yang melemahkan margin Australia, serta penghantaran peralatan perlombongan dan pembinaan yang dialih ke 2QFY26," kata firma berkenaan.


Situasi itu menyebabkan keuntungan susut 15% tahun ke tahun (YoY) kepada RM293 juta, manakala bagi segmen motor, untung kasar merosot 34% YoY kepada RM126 juta akibat pasaran yang amat kompetitif.


Meskipun begitu jualannya meningkat 16% YoY kepada sebanyak 36,387 unit, dan jelas Maybank IB, operasi Singapura didapati berjaya pulih disokong permintaan kenderaan elektrik (EV) yang kukuh.


Sebaliknya, UMW terus menjadi penyumbang stabil, dengan untung kasar meningkat 22% YoY kepada RM261 juta, digerakkan oleh momentum Toyota dan Perodua serta kesan positif pengukuhan nilai ringgit.

 

Artikel berkaitan: Sime Darby catat keuntungan bersih RM355 juta pada 1QFY26

 

"Kami menjangka peningkatan suku-ke-suku (QoQ) pada 2QFY26 disokong penghantaran segmen industri yang kembali normal, permintaan kenderaan lebih kukuh dan faktor bermusim," kata firma tersebut.


Bagaimanapun, Maybank IB mengingatkan yang kebanyakan pemangkin ini bersifat sementara, dengan risiko luar seperti geopolitik dan ketidaktentuan pertukaran mata wang kekal menjadi cabaran.


Ia mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) sesaham RM2.02, manakala RHB Research pula lebih optimistik, apabila terus mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan TP kepada RM2.20.


Walaupun keuntungan teras 1QFY26 susut 8% YoY kepada RM335 juta, firma itu menegaskan prestasi Sime Darby adalah baik dengan merangkumi 28% daripada jangkaan setahun penuh, dipacu pemulihan ketara.


"Ini termasuk segmen motor di China beralih daripada kerugian kepada untung, didorong rebat khas, pengurangan diskaun dan jualan lebih baik yang naik 8% QoQ di sebalik persaingan sengit," jelasnya.


Segmen industri pula katanya, akan pulih semula pada 2QFY26 selepas jatuh 14% YoY berikutan kelewatan penghantaran di Australia, namun RHB Research menjangka peningkatan pada suku berikutnya.


Keyakinan berkenaan tambah firma tersebut, disokong oleh faktor harga jualan purata (ASP) lebih baik, peningkatan jualan alat ganti, dan margin yang stabil selepas kos inventori mula normal.


Keuntungan kasar sumbangan UMW pula kata RHB Research, kekal kukuh sebanyak RM261 juta, naik 22% YoY disokong kos lebih rendah, ringgit lebih teguh dan momentum jualan Toyota yang kuat di ASEAN.


"Kami menaikkan unjuran keuntungan FY26 hingga FY28 sebanyak 7% dan percaya prospek jangka pendek kekal positif menjelang peningkatan jualan akhir tahun serta pelancaran EV Perodua," katanya. - DagangNews.com