Sime Darby catat keuntungan bersih RM355 juta pada Q1FY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby catat keuntungan bersih RM355 juta pada Q1FY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov – Sime Darby Berhad mencatat keuntungan bersih sebanyak RM355 juta bagi suku pertama berakhir 30 September 2025 (Q1 FY2026), lebih rendah berbanding RM800 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sime Darby berkata, penyusutan itu disebabkan ia menerima keuntungan sekali sahaja daripada penjualan tanah Malaysia Vision Valley (MVV) pada tahun lalu.

 

Kumpulan mengekalkan prestasi teras yang stabil walaupun menghadapi cabaran pasaran, dengan hasil sebanyak RM18.03 bilion, sedikit rendah berbanding RM18.26 bilion pada Q1 FY2025. 

 

“Bahagian UMW mencatat keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) sebanyak RM261 juta, meningkat 22 peratus, disokong oleh permintaan yang mantap dalam perniagaan automotif.

 

“Bagi suku berkenaan, bahagian Perindustrian mencatat PBIT RM293 juta, turun 14.6 peratus tahun ke tahun berikutan jualan peralatan yang lebih rendah di Australasia dan pengukuhan Ringgit Malaysia berbanding Dolar Australia.

 

“Prestasi bahagian ini disokong oleh projek pusat data di Malaysia serta peningkatan jualan enjin di pasaran China,” kata Sime Darby.

 

Bahagian Motors pula mencatat PBIT RM126 juta, turun 33.7 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu akibat prestasi pemasangan yang lemah di Malaysia dan margin kenderaan komersial yang lebih rendah di Australasia. 

 

Namun, margin yang lebih baik di Hong Kong, Macau dan Taiwan membantu menyokong pendapatan Sime Darby.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, keadaan pasaran kekal mencabar, tetapi perniagaan teras  Sime Darby terus menunjukkan ketahanan, terutamanya UMW. 

 

“Pendapatan teras keseluruhan kekal hampir sama tahun ke tahun, daripada RM359 juta pada Q1 FY2025 kepada RM335 juta pada Q1 FY2026. 

 

“Portfolio pelbagai kumpulan terus menunjukkan kekuatannya dengan momentum positif dalam jualan EV dan projek berasaskan pusat data membantu mengimbangi cabaran lain,” katanya.

 


Sime Darby Berhad kini mempunyai lebih 30,000 pekerja dan beroperasi di 18 negara dan wilayah di Asia Pasifik.  - DagangNews.com