KUALA LUMPUR 24 Okt - Syarikat media tradisional dijangka terus bergelut untuk menyesuaikan diri dalam era digital dengan kebanyakannya masih bergantung kepada model pengiklanan lama selain kehadiran terhad dalam ruang pengiklanan digital.
Kenanga Research berkata, walaupun kebanyakan organisasi berita menubuhkan portal dalam talian masing-masing tetapi penglibatan dalam ruang digital masih bersifat asas dan situasi itu menggambarkan kesukaran mereka beralih kepada model pengewangan digital yang lebih canggih.
"Dalam situasi ini, Media Prima Berhad muncul sebagai antara pemain tempatan yang memiliki kehadiran digital lebih kukuh, dengan purata 8 juta pelawat unik bulanan.
"Kumpulan itu turut mencatat 139 juta pengikut di media sosial dan capaian kumulatif pendengar radio digital sebanyak 208 juta.
"Namun, potensi besar ini belum diterjemahkan kepada pendapatan ketara apabila operasi digital hanya menyumbang sekitar 13% daripada hasil tahun semasa," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, keseluruhan industri media tempatan masih dibelenggu kos legasi yang tinggi seperti kemudahan penyiaran, pajakan satelit, loji percetakan dan rangkaian pengedaran fizikal yang terus menekan keuntungan dan mengehadkan keupayaan untuk berubah dengan pantas.
Pendapatan iklan keseluruhan (adex) Malaysia dijangka meningkat sederhana kepada RM9.54 bilion pada 2025, dengan pertumbuhan disokong media digital moden – khususnya carian (+8%) dan media sosial (+11%) – yang akan mengimbangi kejatuhan berterusan dalam media tradisional seperti televisyen (-3%), cetak (-7%) dan radio (-6%).
Katanya, menjelang 2029, dominasi digital dijangka semakin kukuh dengan penguasaan 85% daripada jumlah adex negara, manakala bahagian televisyen dijangka merosot kepada hanya 5%.
"Kelewatan media tradisional melakukan transformasi digital dan keupayaan terhad untuk menjana pulangan daripada capaian dalam talian menjadi punca utama industri itu terus ketinggalan di belakang pesaing digital yang lebih pantas serta berteknologi tinggi.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, Astro Malaysia Holdings Bhd dilihat semakin agresif dalam memperkukuh kedudukannya di ruang digital menerusi pelancaran KULT, cabang pemasaran digital baharu.
Platform tersebut membolehkan jenama melaksanakan kempen tersuai merentasi ekosistem kandungan Astro – termasuk saluran milik sendiri dan pihak ketiga seperti YouTube, TikTok dan Meta – dengan menggunakan data audiens dalaman dan kolaborasi bersama pencipta kandungan.
Langkah itu sejajar dengan usaha Astro beralih kepada model pengiklanan berasaskan prestasi yang mampu mengukur keberkesanan kempen secara lebih tepat.
"Kami mengekalkan saranan "underweight" terhadap sektor ini bagi mencerminkan keadaan semasa dan cabaran pendapatan yang dihadapi syarikat media tradisional," katanya.- DagangNews.com








