KUALA LUMPUR 27 Jan - Syarikat keselamatan siber global, Kaspersky, mengesan dan menyekat sebanyak 27.9 juta ancaman web di Malaysia pada 2024, meningkat empat peratus berbanding 2023.
Menurut laporan terkini Kaspersky Security Network, Malaysia kini menduduki tempat ke-30 di peringkat dunia bagi ancaman web.
"Data ini menekankan keperluan mendesak untuk langkah-langkah keselamatan siber yang lebih kuat bagi melindungi individu dan perniagaan di negara ini," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.
Pengurus besar Kaspersky untuk Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong berkata, pengabaian amalan terbaik keselamatan siber boleh membawa akibat yang serius termasuk kebocoran data, kerugian kewangan, kerosakan reputasi, malah gangguan kepada perkhidmatan kritikal.
"Peningkatan ancaman web yang dikesan di Malaysia adalah perkara yang membimbangkan.
"Data terkini kami menunjukkan peningkatan kecanggihan jenayah siber dan keperluan mendesak bagi individu dan perniagaan untuk terus meningkatkan perlindungan mereka terhadap ancaman siber," jelasnya.
Beliau turut menggesa rakyat Malaysia untuk terus mengutamakan keselamatan dalam talian dan mengambil langkah proaktif secepat mungkin, susulan kerugian sekitar RM5 bilion berlaku akibat jenayah siber dari tahun 2020 hingga 2024.
"Usaha berterusan kerajaan Malaysia dalam memerangi ancaman siber adalah sangat dipuji. Langkah-langkah ini penting untuk meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuhkan pertahanan siber negara," ujarnya.
Bagi perniagaan, pakar Kaspersky mengesyorkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk mencegah serangan siber walaupun dengan jumlah kakitangan keselamatan siber yang terhad antaranya meningkatkan rumusan keselamatan siber dan gunakan platform berpusat dan automatik seperti Kaspersky Next.
Selain itu, syarikat-syarikat juga boleh melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja, mematuhi peraturan untuk mengelakkan masalah undang-undang, menekankan perbincangan tentang topik berkaitan AI dalam keselamatan siber serta menerapkan prinsip secure-by-design.
Pengguna pula boleh mengurangkan risiko dalam talian dengan mengguakan kata laluan yang kuat dan unik, pengesahan dua faktor dan elakkan klik pada mesej langsung dari orang yang tidak dikenali. - DagangNews.com








