KUALA LUMPUR 22 Okt - MBSB Research mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan 2025 berada pada kadar 1.4% berbanding 1.8% pada tahun lalu didorong bacaan semasa yang sederhana serta dasar-dasar kerajaan yang membantu mengurangkan tekanan harga.
Firma penyelidikan itu akan terus memantau potensi tekanan harga susulan perubahan dasar khususnya dari segi perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Katanya, langkah kerajaan menurunkan harga petrol RON95 bersubsidi kepada RM1.99 seliter dijangka membantu meringankan tekanan kos pengangkutan sekali gus menstabilkan kadar inflasi dalam tempoh terdekat.
"Bagaimanapun, risiko kenaikan inflasi masih wujud, khususnya daripada reka bentuk program subsidi bersasar BUDI95 yang mengecualikan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) daripada menerima subsidi bahan api.
"Ini bermakna segmen PMKS terpaksa menanggung kos bahan api yang lebih tinggi dan berpotensi memindahkan peningkatan kos operasi kepada harga barangan pengguna," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Kadar inflasi Malaysia meningkat sebanyak 1.5% pada September 2025 - DOSM
Terdahulu, inflasi Malaysia meningkat sebanyak 1.5% pada September 2025, dengan Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatatkan 135.2 mata berbanding 133.2 mata pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Peningkatan itu didorong kenaikan harga dalam kategori penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan yang meningkat 4.8% berbanding 4% pada Ogos.
Antara penyumbang utama lain termasuk makanan dan minuman (2.1%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (1.5%), kesihatan (1.3%) serta pengangkutan (0.7%).
MBSB Research berkata, peningkatan tekanan permintaan berikutan pemotongan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai 2025, yang dijangka merangsang perbelanjaan pengguna.
Katanya, faktor itu turut disokong pasaran buruh yang kukuh, pertumbuhan positif dalam pendapatan pekerja, serta langkah fiskal kerajaan termasuk kelewatan dalam pelaksanaan penyesuaian subsidi.
Meskipun permintaan dijangka meningkat, firma penyelidikan itu menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan OPR pada paras 2.75% bagi baki tahun 2025, memandangkan tekanan harga keseluruhan dijangka kekal terkawal.
"Secara keseluruhan, kombinasi dasar monetari yang lebih baik dan pengurusan subsidi yang lebih berhati-hati memastikan inflasi Malaysia kekal dalam julat sederhana, sekali gus menyokong momentum pertumbuhan ekonomi yang stabil," katanya. - DagangNews.com








