KUALA LUMPUR 22 Okt – Kadar inflasi Malaysia meningkat sebanyak 1.5% pada September 2025, dengan Indeks Harga Pengguna (CPI) mencatatkan 135.2 mata berbanding 133.2 mata pada bulan yang sama tahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM berkata, peningkatan itu didorong terutamanya oleh kenaikan harga dalam kategori penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan yang meningkat 4.8% berbanding 4% pada Ogos.
“Antara penyumbang utama lain termasuk makanan dan minuman (2.1%), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api (1.5%), kesihatan (1.3%) serta pengangkutan (0.7%).
“Kategori restoran dan penginapan (3.3%) serta minuman beralkohol dan tembakau (0.3%) pula mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan berbanding bulan sebelumnya.
“Beberapa kategori kekal tidak berubah daripada paras Ogos, termasuk insurans dan perkhidmatan kewangan (5.6%), pendidikan (2.4%), rekreasi, sukan dan budaya (0.9%) serta perabot, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.2%),” kata DOSM dalam satu kenyataan.
Namun, kategori maklumat dan komunikasi (-4.5 %) serta pakaian dan kasut (-0.2%) terus merekodkan penurunan harga dan kekal dalam zon negatif.
Dalam kumpulan makanan dan minuman, kadar inflasi meningkat sedikit kepada 2.1% daripada 2% pada Ogos.
Harga bagi makanan di luar rumah naik kepada 4.4% (Ogos: 4.3%), manakala makanan di rumah kekal tidak berubah pada -0.1%.
Lima negeri mencatatkan kadar inflasi melebihi purata nasional 1.5%, iaitu Johor (2.0%), Negeri Sembilan (1.9%), Melaka (1.8%), Selangor (1.8%) dan Terengganu (1.7%).
Sebaliknya, 11 negeri lain merekodkan kadar inflasi di bawah paras nasional, dengan Kelantan mencatatkan peningkatan terendah sebanyak 0.5% pada September.
Bagi suku ketiga 2025, kadar inflasi Malaysia meningkat 1.3% tahun ke tahun, didorong oleh peningkatan dalam insurans dan perkhidmatan kewangan (5.6%), penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (4.2%), perkhidmatan restoran dan penginapan (3.3%) serta pendidikan (2.3%).
Secara bulanan, inflasi keseluruhan meningkat 0.2% pada September, disokong oleh kos lebih tinggi dalam maklumat dan komunikasi (1.1%), penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan serta perkhidmatan (0.8%), dan perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain (0.3%).
Inflasi teras yang tidak termasuk barangan berharga tidak menentu turut meningkat kepada 2.1% daripada 2.0% pada Ogos, terutamanya disebabkan tekanan harga berterusan dalam kategori insurans dan perkhidmatan kewangan (5.6%), penjagaan diri (4.8%) dan makanan serta minuman (3.6%).
DOSM menjelaskan data bagi bulan September menunjukkan harga kekal stabil dalam kebanyakan kategori, namun menegaskan segmen berkaitan pengguna, khususnya penjagaan diri dan perkhidmatan makanan, terus mengalami tekanan harga lebih tinggi berikutan permintaan domestik yang berterusan.- DagangNews.com








