Jualan lemah perlombongan di Australia dikhuatiri jejaskan Sime Darby pada 2HFY26, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Jualan lemah perlombongan di Australia dikhuatiri jejaskan Sime Darby pada 2HFY26, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Feb – Perbelanjaan berhati-hati pelanggan perlombongan di Australia serta tekanan margin dalam segmen perindustrian dijangka antara isu kritikal ke atas prestasi Sime Darby Berhad.


Menurut penganalisis, situasi itu membayangi prospeknya pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (FY26) meskipun keputusan bagi separuh pertama menunjukkan pertumbuhan keuntungan yang kukuh.


Dua firma penyelidikan berbeza pandangan terhadap trajektori jangka sederhana kumpulan itu, dengan satu kekal optimistik, manakala satu lagi menjangkakan momentum lebih sederhana pada 2HFY26.


RHB Research mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) baharu RM2.55 daripada RM2.40, membayangkan potensi kenaikan 7% serta hasil dividen sekitar 6% bagi FY26 pada 30 Jun 2026.


"Keuntungan teras pada 1HFY26 meningkat 15% tahun ke tahun (YoY) kepada RM766 juta, bersamaan 56% daripada unjuran tahunan kami dan 58% jangkaan pasaran," katanya dalam nota kajian hari ini. 


Peningkatan tersebut jelas firma penyelidikan berkenaan, sebahagian besarnya dipacu oleh faktor penurunan perbelanjaan faedah sebanyak 30% YoT susulan pengurangan hutang Sime Darby sendiri.


Segmen perindustrian kata RHB Research, kekal penyumbang utama dengan 41% daripada keuntungan sebelum faedah dan cukai (PBIT) kumpulan dan pendapatan 2QFY26 meningkat 6% suku ke suku (QoQ).


Bagaimanapun, ia mendapati, margin syarikat sedikit menyusut kepada 6.4% (1QFY26: 6.6%) berikutan sumbangan selepas jualan lebih rendah akibat perbelanjaan tertunda oleh syarikat perlombongan.


"Kami menjangkakan prospek segmen ini kekal mendatar dalam tempoh yang terdekat, dengan sumbangan selepas jualan diramal hanya pulih secara lebih ketara pada FY27 nanti," kata firma berkenaan.


Bagi segmen motor pula jelas RHB Research, PBIT teras 2QFY26 melonjak 65% QoQ dan 77% YoY kepada RM209 juta, dipacu operasi pemasangan di Malaysia serta pemulihan jualan di China (+90% QoQ).


Margin PBIT meningkat kepada 2.1% berbanding 1.4% pada suku sebelumnya, tetapi walaupun sebahagian lonjakan disifatkan tidak berulang, ia menjangkakan perniagaan di China mula bertambah baik.


Pemulihan diramal berlangsung secara beransur-ansur, dengan potensi pulang modal semula pada FY26, namun pemulihan yang lebih ketara ke atas pertumbuhan Sime Darby hanya dijangka pada FY27.


"Justeru, kami mengekalkan unjuran FY26, tetapi menaikkan unjuran FY27 hingga FY28 sebanyak 5% susulan nisbah gear lebih rendah dan kerugian di China semakin mengecil," kata RHB Research.


Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) pula mengekalkan saranan 'pegang' dengan TP disemak naik kepada RM2.53 daripada RM2.02, selepas melanjutkan asas penilaian kepada CY26.


Keuntungan bersih teras Sime Darby pada tempoh 1HFY26 sebanyak RM787 juta adalah selari jangkaan, yang mewakili kira-kira 62% dan 60% daripada masing-masing unjuran firma tersebut dan konsensus.


Segmen perindustrian menyaksikan PBIT 1HFY26 merosot 13% YoY kepada RM593 juta, akibat penyusutan kira-kira 6% nilai dolar Australia serta sumbangan oleh produk sokongan dan sewaan lebih rendah.


"Buku tempahan turut susut 12% QoQ kepada RM4.2 bilion setakat 31 Disember 2025, namun PBIT segmen motor meningkat 9% YoY kepada RM335 juta, didorong prestasi kukuh di China," kata Maybank IB.


Jelasnya, jualan kenderaan melonjak sebanyak 13% YoY kepada 74,841 unit, manakala jualan di Malaysia naik 42% YoY, disokong penerimaan kenderaan elektrik (EV) dan pemerolehan terbaharu.


Tambah firma tersebut, sumbangan daripada subsidiari Sime Darby, UMW Holdings pula berkembang 9% YoY kepada RM530 juta, dipacu momentum positif jenama Toyota dan Perodua serta pengoptimuman kos.


Bagaimanapun, Maybank IB menjangkakan trajektori lebih sederhana pada separuh kedua berikutan isu perbelanjaan perlombongan di Australia yang kekal berhati-hati dan persaingan sengit segmen motor.


"Keadaan ini melibatkan daripada para pengilang peralatan tulen (OEM) asal dari China serta kos berkaitan EV yang dikhuatiri akan lebih tinggi selepas ini pula," kara firma penyelidikan itu.


Di sebalik situasi tersebut, ia optimis ke atas potensi pengewangan aset dan insentif daripada prinsipal seperti BMW boleh menyokong margin serta membuka ruang kepada pemberian dividen khas.


Secara keseluruhan, kedua-dua firma bersetuju bahawa cabaran utama Sime Darby ketika ini tertumpu kepada margin segmen perindustrian dan ketidaktentuan perbelanjaan perlombongan di Australia.


Namun, asas kewangan kukuh melalui pengurangan hutang, prestasi stabil UMW serta tanda pemulihan dalam segmen motor memberi penampan kepada kumpulan pada separuh kedua. - DagangNews.com