KUALA LUMPUR 29 April — Prestasi jualan kedai sama (SSSG) yang terus mencatat penyusutan sehingga 12.6% menjadi isu utama perlu ditangani Eco-Shop Marketing Berhad, menurut analisis RHB Research.
Kelemahan tersebut ujar firma penyelidikan berkenaan disebabkan isu pelarasan harga pelbagai produk jualannya bermula April 2025 kepada RM2.60 setiap unit daripada hanya RM2.40 sebelum ini.
Bagaimanapun, kumpulan itu masih mampu mencatat lonjakan keuntungan 23% bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2026 (9MFY26), didorong pembukaan 65 lagi cawangan dan pengembangan margin.
"Prestasi kewangan Eco-Shop secara keseluruhan adalah selaras jangkaan kami dengan untung bersih teras mencecah RM192 juta, iaitu 75% daripada unjuran tahun penuh," kata RHB Research dalam nota.
Justeru, ia mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas saham syarikat itu, serta harga sasaran (TP) susut kepada RM1.80 daripada RM1.85, dengan jangkaan ada kenaikan 41% serta pulangan hasil 2% bagi FY27.
Walaupun SSSG lemah kerana isu pelarasan harga, margin keuntungan kasar pula meningkat 5.8 mata peratusan kepada 32.8%, serta mengimbangi tekanan kos operasi termasuk pelaksanaan gaji minimum.
Artikel berkaitan: Pendapatan Eco-Shop cecah RM2.1 bilion pada 9MFY26 disokong penambahan rangkaian kedai baharu

Dari segi suku tahunan, jualan 3QFY26 naik 4% disokong pembukaan banyak kedai baharu, manakala margin keuntungan bersih mencapai paras tertinggi 9.6% dengan keuntungan mencecah RM71 juta.
RHB Research turut menjangkakan Eco-Shop dapat melaksanakan proses pemulihan SSSG bermula seawal tempoh suku keempat FY26, dengan disokong oleh faktor kesan asas yang mungkin lebih rendah.
"Margin dijangka kekal stabil sekitar 33.8% berikutan skala operasi kumpulan berkenaan yang lebih besar, dengan sumbangan produk jenama sendiri serta kadar tukaran asing (forex)," tambahnya lagi.
Pada masa sama kata firma tersebut, Eco-Shop dilihat berada pada kedudukan kukuh mengekalkan harga produknya walaupun berdepan tekanan kos, dan berpotensi merapatkan jurang harga dengan pesaing.
Syarikat itu juga merancang membuka 100 cawangan baharu pada FY26 dan mengekalkan sasaran yang sama bagi FY27, selari dengan prospek pertumbuhan industri yang terus berkembang di Malaysia.
Perkembangan itu ujar RHB Research, susulan trend pengguna beralih kepada perbelanjaan lebih murah, namun, antara risiko utama termasuk kelewatan pelaksanaan pelan pengembangan. - DagangNews.com








