Pendapatan Eco-Shop cecah RM2.1 bilion pada 9M FY2026 disokong penambahan rangkaian kedai baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Eco-Shop cecah RM2.1 bilion pada 9M FY2026 disokong penambahan rangkaian kedai baharu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 April – Eco-Shop Marketing Berhad merekodkan pendapatan sebanyak RM2.1 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 28 Februari 2026 disokong oleh pengembangan rangkaian kedai baharu yang meningkatkan jumlah transaksi pelanggan.

 

Dalam tempoh sama, PATAMI meningkat sebanyak 23.9 peratus kepada RM191.9 juta, mencerminkan prestasi operasi yang lebih kukuh serta kawalan kos yang berkesan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat yang mendominasi sektor kedai runcit murah itu berkata pendapatan bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 pula ialah RM743.7 juta, meningkat sedikit berbanding RM736.4 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

"Kuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) turut menunjukkan peningkatan ketara sebanyak 15.5 peratus kepada RM71.3 juta, didorong oleh peningkatan margin keuntungan serta kecekapan operasi yang lebih baik.

 

“Seiring dengan keputusan kewangan tersebut, Eco-Shop mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 0.55 sen sesaham biasa, dengan jumlah pembayaran dijadualkan pada 26 Mei 2026, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 44 peratus,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng, berkata syarikat telah membuka 65 kedai baharu setakat sembilan bulan pertama tahun kewangan ini dan berada di landasan untuk melepasi sasaran pembukaan 70 kedai bagi FY2026.

 

“Penambahan rangkaian kedai itu mencerminkan kebolehskalaan model perniagaan syarikat serta keupayaan untuk memasuki lokasi yang masih kurang mendapat liputan runcit.

 

“Selain itu, Eco-Shop turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan pengalaman pelanggan melalui pengubahsuaian kedai, penawaran produk baharu serta pembangunan sistem pengurusan hubungan pelanggan (CRM) yang lebih maju,” katanya.

 

Syarikat itu kekal optimis terhadap prospek jangka panjang industri kedai serba murah di Malaysia, yang disokong oleh permintaan pengguna terhadap produk bernilai tinggi pada harga mampu milik serta potensi pasaran yang masih belum mencapai tahap matang. - DagangNews.com