Johor Plantations raih prestasi terbaik pada 3Q25, RHB Research naikkan TP kepada RM1.80 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantations raih prestasi terbaik pada 3Q25, RHB Research naikkan TP kepada RM1.80

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 NovJohor Plantations Group Berhad (JPG) mencatat prestasi terbaik pada suku ketiga tahun ini dengan keputusan yang melepasi jangkaan pasaran, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'beli' sambil menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM1.80 daripada RM1.75, yang memberi potensi kenaikan 13% dengan anggaran hasil dividen 4% bagi FY26.


Katanya, lonjakan pendapatan teras 3Q25 sebanyak 39% suku ke suku (QoQ) kepada RM100.6 juta, atau 82% daripada unjuran setahun penuh, didorong kos operasi rendah dan faedah pinjaman lebih kecil.


"Selain itu, pendapatan faedah yang lebih tinggi dan dividen 1.75 sen yang diisytiharkan bagi suku tersebut menjadikan jumlah 9M25 kepada kira-kira 4 sen," kata RHB Research dalam notanya hari ini.


Dari segi operasi, keluaran buah tandan segar (BTS) pada sembilan bulan pertama 2025 merosot 5% tahun ke tahun (YoY) akibat cuaca lembap, namun pemulihan ketara dicatatkan pada Oktober 2025.


Bagaimanapun jelas firma tersebut, JPG menjangkakan output pada empoh suku keempat tahun ini menyusut sekitar 7% QoQ, dan membawa kepada penurunan setahun penuh antara satu hingga dua peratus.

 

Artikel berkaitan: Johor Plantations catat hasil RM496.2 juta 3Q25, untung bersih melonjak 38.5% kepada RM105.8 juta


Untuk FY26 tambah RHB Research, hasil BTS dalaman syarikat berkenaan mungkin lebih rendah ekoran program penanaman semula agresif, tetapi dijangka diimbangi belian luar (OCP) yang lebih tinggi.


"Kos per unit bagi minyak sawit mentah (MSM) pula didapati meningkat 9.5% YoY kepada RM2,300 satu tan dalam 9M25, selaras dengan jangkaan, dan dijangka kekal tinggi sepanjang FY25," katanya.


Perkembangan positif tersebut jelasnya, berikutan output yang lebih lemah, manakala bagi FY26 pula, harga baja lebih tinggi antara 20% hingga 30% dijangka diserap oleh potensi pengukuhan ringgit.


RHB Research meningkatkan unjuran keuntungan JPG bagi FY25 hingga FY27 sebanyak 4% setahun selepas mengambil kira kos operasi dan kewangan yang lebih rendah serta pelarasan perbelanjaan modal.


Dengan penilaian 15 kali nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 2026, iaitu paras tertinggi dalam lingkungan pesaing, namun firma penyelidikan tersebut menegaskan premium tersebut adalah wajar.


Keadaan itu katanya, memandangkan profil alam sekitar, sosial dan urus tadbir (ESG) JPG yang kukuh serta jangkaan sumbangan awal segmen hiliran bermula separuh kedua 2026. - DagangNews.com