Johor Plantations Group catat hasil RM496.2 juta 3Q25, untung bersih melonjak 38.5% kepada RM105.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Johor Plantations Group catat hasil RM496.2 juta 3Q25, untung bersih melonjak 38.5% kepada RM105.8 juta

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 19 Nov - Johor Plantations Group Berhad (JPG) terus mengekalkan prestasi kukuh apabila mencatat pertumbuhan hasil dan keuntungan bersih dua angka bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3Q25), dipacu oleh jumlah jualan lebih tinggi serta harga yang menggalakkan bagi minyak sawit mentah (CPO) dan isirung sawit (PK).

 

Dalam kenyataan kumpulan itu berkata, bagi suku berakhir 30 September 2025 itu, JPG merekodkan peningkatan hasil 22.8% kepada RM496.2 juta berbanding RM404.1 juta pada 3Q24.

 

Keuntungan bersih melonjak 38.5% kepada RM105.8 juta daripada RM76.4 juta pada suku sama tahun lalu, disokong oleh permintaan pasaran yang mantap dan pengurusan kos yang lebih cekap.

 

 

 

 

 

 

 

 

Segmen huluan terus menjadi penyumbang utama dengan hasil CPO meningkat 20.8% kepada RM410.0 juta, manakala hasil PK naik 36.0% kepada RM83.5 juta. Kedua-duanya dipacu oleh harga lebih kukuh dan peningkatan jumlah jualan.

 

Prestasi sembilan bulan pertama (9M25) juga memberangsangkan apabila hasil meningkat 16.5% YoY kepada RM1.23 bilion, manakala keuntungan bersih melonjak 45.5% kepada RM256.4 juta daripada RM176.2 juta tahun sebelumnya.

 

Peningkatan ini didorong prestasi lebih baik merentasi semua sektor operasi.

 

JPG turut mencatat kenaikan 12.2% dalam jumlah pemprosesan buah tandan segar (FFB), disokong oleh pembelian hasil luar (OCP) yang lebih tinggi dan peningkatan hasil dalaman.

 

Peningkatan OCP, termasuk daripada pembekal diperakui MSPO dan RSPO, menegaskan keberkesanan strategi penglibatan pekebun kecil serta mengukuhkan ketahanan rantaian bekalan.

 

Usaha ini menyokong sasaran jangka panjang JPG untuk mencapai nisbah bekalan tanaman 50:50 antara dalaman dan luaran.

 

Bagi memperkukuh pelaksanaan strategik, JPG menyusun semula struktur pengurusan melalui pelantikan empat jawatan kanan utama – Mohamad Yami Bakar sebagai Ketua Operasi Perladangan, Amran Zakaria sebagai Ketua Pegawai Sumber Manusia, Wan Adlin Wan Mahmood sebagai Ketua Pegawai Komersial dan Muhammad Khairi Ramli sebagai Ketua Pegawai Strategi.

 

Pengarah Urusan, Mohd Faris Adli Shukery berkata prestasi suku ketiga mengukuhkan kedudukan JPG sebagai peneraju industri dengan asas yang kukuh.

 

“Penambahbaikan merentasi segmen utama dan kemajuan projek Kompleks Minyak Sawit Mapan Bersepadu di Sedili menyerlahkan kekuatan model bersepadu kami.

 

"Sumbangan hasil luaran yang lebih kukuh turut membantu menampung penurunan kecil pengeluaran sembilan bulan pertama.

 

“Dengan permintaan yang stabil, hasil yang bertambah baik, serta pengoptimuman berterusan operasi, kami yakin dapat menutup tahun 2025 dengan prestasi lebih memberangsangkan,” katanya.

 

 

 

 

 

 

 

Sebagai tanda keyakinan terhadap prestasi kewangan yang stabil, Lembaga Pengarah JPG mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 1.75 sen sesaham.

 

Sejak penyenaraiannya pada Julai 2024, ini adalah dividen suku tahunan keenam yang diumumkan, menjadikan jumlah keseluruhan bayaran setakat ini 9.25 sen. - DagangNews.com