KUALA LUMPUR 16 Feb – Johan Holdings Berhad melupuskan sebuah hotel dan tiga bidang tanah yang terletak bersebelahan di Lumut, Perak, dengan nilai keseluruhan mencecah RM47.43 juta secara tunai.
Kumpulan tersebut menambah, langkah berkenaan dilaksanakan oleh anak syarikat 80% miliknya, Lumut Park Resort Sdn Bhd (LPR), menerusi pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) aset secara bersyarat.
Katanya, hartanah yang terlibat dalam pelupusan tersebut antaranya merangkumi sebuah hotel bertaraf tiga bintang dan dikenali sebagai 'The Orient Star Lumut' dengan kapasiti sebanyak 150 bilik.
"LPR turut menjual tiga bidang tanah berstatus pajakan di daerah Manjung itu, dengan pembeli ialah Golden Peak Hospitality and Consultancy Sdn Bhd (GPHC)," maklum Johan kepada Bursa Malaysia.
Menurutnya, cadangan pelupusan ini adalah sebahagian daripada strategi kumpulan untuk menilai semula portfolio pelaburannya serta merealisasikan nilai pelaburan bagi manfaat pemegang saham.
Dana yang dijana daripada penjualan ini akan digunakan sebagai modal kerja bagi mengukuh kedudukan kecairan dan kestabilan kewangan, selain membolehkan pengurusan operasi harian yang lebih cekap.
Berdasarkan nilai buku bersih aset tersebut sebanyak RM51.39 juta setakat 31 Julai 2025, Johan dijangka mencatatkan untung pro forma bersih satu kali sebanyak RM3.88 juta melalui transaksi ini.
"Daripada keseluruhan hasil tunai yang diterima, sebanyak RM44.73 juta diperuntukkan bagi keperluan modal kerja termasuk pembayaran kepada pemiutang dan perbelanjaan operasi harian," jelasnya lagi.
Sementara baki selebihnya jelas Johan, akan digunakan pula untuk tujuan membiayai pelbagai kos anggaran yang berkaitan dengan proses urus niaga pelupusan aset tersebut antara LPR dan GPHC.
Sekiranya tiada sebarang halangan dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta pemegang saham, transaksi ini dijangka selesai sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun kewangan 2026.
Tambah kumpulan berkenaan, UOB Kay Hian (M) Sdn Bhd dilantik secara rasmi sebagai penasihat utama bagi cadangan penjualan tersebut. - DagangNews.com








