KUALA LUMPUR 6 Okt – Insiden kebakaran di loji jana kuasa arang batu Tanjung Bin Energy (TBE) milik Malakoff Corporation Berhad dijangka memberi tekanan kepada prestasi kewangan dalam jangka pendek.
Menurut CGS International (CGSI), kejadian yang berlaku pada 2 Oktober 2025 itu melibatkan kerosakan serius pada sistem Flue Gas Desulfurisation (FGD) komponen kritikal bagi pematuhan pelepasan asap.
Firma penyelidikan itu menambah, kira-kira 70% sistem terjejas dan operasi loji berkapasiti 1GW di Pontian, Johor ini dihentikan sementara bagi siasatan, kerja baik pulih dan kelulusan pihak berkuasa dilakukan.
“Berdasarkan anggaran kami, Malakoff berisiko mengalami impak negatif sekitar RM1.3 juta sehari kepada keuntungan selepas cukai (PAT) selagi masih tidak beroperasi,” jelasnya dalam nota kajian.
CGSI namun berkata, kesan kewangan mungkin dapat dikurangkan, jika tempoh gangguan masih dalam had peruntukan gangguan tidak berjadual yang dibenarkan di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA).
Walaupun sentimen jangka pendek mungkin terkesan susulan insiden kebakaran itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘tambah’ ke atas Malakoff dengan harga sasaran tidak berubah RM1.20 sesaham.
Ia menyifatkan kejatuhan harga saham syarikat itu sebagai peluang untuk pelabur mengumpul pegangan dengan penilaian semasa saham Malakoff masih berada di paras rendah dalam julat rekod sejarahnya.
"Kami menilai dalam masa sama, kumpulan ini mengumumkan kejayaan memperoleh projek tenaga solar 100MWac di Bintulu, Sarawak melalui perjanjian 30 tahun dengan Syarikat SESCO Berhad," kata CGSI.
Artikel berkaitan: Fasiliti kawalan pelepasan di loji Tanjung Bin Energy milik Malakoff musnah terbakar 70%, kata bomba
Projek ini tambah firma penyelidikan tersebut, akan dibangunkan menerusi kaedah usaha sama antara Malakoff (70%) dan EE Solar (30%), dengan operasi komersial pula dijangka bermula pada Mei 2028.
Ini dijangka menyumbang RM7 juta hingga RM9 juta setahun kepada keuntungan apabila beroperasi, dan selari strategi ‘Malakoff 2.0’ mencapai kapasiti 1,400MW tenaga boleh diperbaharui (RE) pada 2031.
Dengan penambahan projek terbaharu ini kata CGSI, jumlah kapasiti RE yang dijamin meningkat kepada 768MW, bersamaan 55% daripada sasaran jangka panjang, berbanding hanya 12% pada akhir 2024.
"Kami melihat ada beberapa pemangkin positif yang menyokong penilaian saham Malakoff termasuk perolehan projek tenaga gas baharu, penambahan projek RE, dan lanjutan konsesi loji sedia ada," katanya.
Selain itu jelas firma penyelidikan berkenaan, pegangan strategik dalam syarikat tidak tersenarai seperti E-Idaman dan projek sisa ke tenaga (WTE) juga berpotensi meningkatkan pendapatan berulang.
Bagaimanapun CGSI memberi amaran, antara risiko yang perlu diperhatikan Malakoff ialah margin bahan api negatif serta kejadian gangguan loji tidak dijangka, seperti berlaku di TBE minggu lalu.
Secara keseluruhan katanya, walaupun insiden TBE menimbulkan cabaran sementara kepada syarikat tersebut, ia percaya hala tuju strategik Malakoff dalam peralihan tenaga bersih kekal utuh.
"Kumpulan ini dijangka masih lagi mampu menjana pertumbuhan secara mampan dalam jangka sederhana hingga panjang,” kata firma tersebut. - DagangNews.com








