Fasiliti kawalan pelepasan di loji Tanjung Bin Energy milik Malakoff musnah terbakar 70%, kata bomba | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fasiliti kawalan pelepasan di loji Tanjung Bin Energy milik Malakoff musnah terbakar 70%, kata bomba

Foto kredit Malakoff Corporation Berhad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Okt – Satu kebakaran besar dilapor memusnahkan kira-kira 70 peratus daripada fasiliti kawalan pelepasan loji jana kuasa Tanjung Bin Energy (TBE) di Pontian, Johor lewat 2 Oktober 2025.


Ia melibatkan sistem penyahbelerang gas serombong (FGD) dan terowong cerobong dengan insiden tersebut disifatkan sebagai kemalangan industri yang serius sejak premis itu dikomersialkan pada 2016.


Menurut Komander Operasi Kanan Bomba, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.22 malam, sebelum menggerakkan 22 anggota dari tiga buah balai.


“Operasi pemadaman dilaksanakan mengikut dua sektor dengan sokongan 10 anggota pasukan tindak balas kecemasan (ERT) dan enam anggota bomba pelabuhan Tanjung Bin,” jelasnya dalam kenyataan.


Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya pada awal pagi 3 Oktober 2025 tanpa melibatkan sebarang kecederaan atau kematian, serta turut dibantu pasukan bomba sukarela dari Benut.


Mahadir mengesahkan kebakaran memusnahkan sekitar 70% bahagian sistem FGD, yang merupakan komponen penting dalam mengurangkan pelepasan gas sulfur daripada operasi loji jana kuasa tersebut.


"Pemantauan dan tindakan susulan kini sudah diserahkan kepada pengendali loji berkenaan, Malakoff Corporation Berhad, bersama-sama pasukan kecemasan dalaman mereka sendiri," jelas beliau.


Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi dalam siasatan pihak berkuasa ketika ini. Loji TBE diuruskan oleh Tanjung Bin Power Sdn Bhd yang sebelum itu dikenali sebagai SKS Power Sdn Bhd.
 

Sementara itu, Malakoff mengesahkan tiada sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dengan kebakaran bermula sekitar pukul 8.00 malam, sebelum api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 3.45 pagi.


Menurut kenyataan syarikat itu, kawasan terjejas dikawal rapi dan aktiviti ‘water blanketing’ masih diteruskan pihaknya sebagai langkah berjaga-jaga, manakala usaha pemantauan berterusan sedang dijalankan.


“Pasukan penyiasat bersama bomba sedang meneliti punca sebenar. Kami memberi jaminan kes terkawal dan segala langkah keselamatan diambil bagi melindungi kakitangan dan komuniti sekitar,” katanya.


Malakoff turut memberi jaminan pelbagai usaha sedang giat dilaksanakan syarikat bagi memastikan segala tahap keselamatan dan kesejahteraan semua pihak yang terlibat adalah terpelihara dengan baik.


TBE antara loji jana kuasa arang batu terbesar di Malaysia dengan kapasiti 1,000MW, terletak dekat Pelabuhan Tanjung Pelepas serta 30 kilometer dari Pontian dan 65 kilometer dari Johor Bahru. - DagangNews.com