KUALA LUMPUR 23 Jan - MIDF Research menganggarkan inflasi bagi 2025 meningkat kepada 2.8% kesan perubahan dasar kerajaan termasuk usaha penyasaran semula subsidi.
Walaupun kerajaan memberi isyarat rasionalisasi subsidi bahan api selanjutnya dan lebih banyak perubahan dasar akan dilaksanakan tahun ini, buat masa ini, firma penyelidikan itu menjangkakan penyederhanaan inflasi mungkin berterusan pada suku oertama 2025.
Katanya, harga minyak mentah yang sederhana dan tekanan kos yang boleh dikawal akanmembuatkan inflasi berada dalam keadaan terkawal.
Bagaimanapun, sebagai pengimport makanan bersih, Malaysia kekal terdedah kepada faktor luaran seperti turun naik dalam harga makanan global dan perubahan dalam kadar pertukaran ringgit.
Selain itu, inflasi makanan domestik boleh meningkat lebih tinggi kerana keadaan cuaca buruk mengganggu pengeluaran dan bekalan makanan.
"Kami menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 3.00% pada 2025 berikutan kekurangan tekanan permintaan yang ketara terhadap inflasi dan kami berpendapat kadar semasa kekal menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia menyederhana pada 1.7 peratus pada Disember 2024, kata DOSM
Terdahulu, inflasi kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8% daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 2.7% pada Disember 2024.
Peningkatan itu disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang menaik sebanyak 3.6% dipengaruhi oleh cuaca buruk dan kekerapan hujan yang melanda kawasan pengeluaran utama seperti di Tanah Tinggi Cameron.
Kelas perbelanjaan daging mencatatkan penurunan 0.3% pada bulan Disember 2024 manakala, daging ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6%) dalam kelas perbelanjaan daging merekodkan peningkatan perlahan pada 0.9%.
Inflasi bagi lima negeri meningkat melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (2.6%), Pahang (2.3%), Selangor (2.0%), Johor (1.8%) dan Sarawak (1.8%).
Bagi kadar inflasi makanan dan minuman tertinggi, Selangor mencatat inflasi sebanyak 4.1%, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (3.1%), Johor (3%), Terengganu (2.9%) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.9%).- DagangNews.com








