Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan terus waspada, permintaan luar kekal rapuh — TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Pengurus Pembelian sektor pembuatan terus waspada, permintaan luar kekal rapuh — TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 Okt – Aktiviti sektor pembuatan Malaysia mencatatkan sedikit kelembapan pada September 2025 apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) S&P Global susut sedikit kepada 49.8.


Menurut TA Securities, angka berkenaan sebenarnya adalah rendah berbanding 49.9 pada Ogos 225, sekali gus kekal di bawah paras neutral 50.0 yang memisahkan pengembangan atau penguncupan.


Tambah firma penyelidikan, walaupun bacaan PMI masih dalam zon kecil, data menunjukkan tanda-tanda pemulihan perlahan dan berperingkat, disokong oleh peningkatan sederhana dalam tempahan baharu.


"Ia meningkat untuk bulan kedua berturut-turut, namun pertumbuhan lebih perlahan berbanding Ogos. Permintaan dipacu oleh pelancaran projek baharu dan keyakinan pelanggan pasaran tempatan," katanya.


Bagaimanapun, prestasi eksport mencatatkan penyusutan buat kali pertama dalam tempoh tiga bulan, ekoran permintaan lemah dari pasaran utama seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Asia Pasifik.


Tahap pengeluaran kekal lemah dengan indeks 'output' pelarasan bermusim merosot sedikit di bawah paras 50.0 dengan beberapa syarikat melaporkan ada lebihan produk siap yang tidak dapat dijual.


TA Securities berkata, keadaan tersebut menyebabkan inventori barangan siap kekal tidak berubah, sekali gus menamatkan trend penyusutan inventori selama tempoh 38 bulan berturut-turut.


"Kekangan kapasiti operasi semakin ketara apabila banyak syarikat melaporkan beban kerja tertangguh kekal, dipengaruhi oleh pengurangan tenaga kerja selama tiga bulan berturut-turut," kata firma itu.

 

Artikel berkaitan: Sektor pembuatan Malaysia stabil pada September disokong sentimen lebih baik, tekanan kos rendah - S&P Global

 

Kadar inflasi kos input menurun ke paras terendah dalam lima bulan, mencerminkan penurunan tekanan kos bahan mentah, namun sesetengah syarikat dilaporkan berjaya mengimbangi impak negatif tersebut.


Situasi itu jelasnya, disebabkan cukai lebih tinggi dan kos input yang lebih rendah, menyebabkan harga output kekal tidak berubah dan menghentikan peningkatan harga selama tiga bulan sebelum ini.


Menjelang akhir suku ketiga, aktiviti pembelian menunjukkan peningkatan paling pantas sejak April 2022, tetapi inventori prapengeluaran menurun kerana lebih bergantung kepada stok yang sedia ada.


"Untuk suku ketiga 2025, purata PMI diunjur ialah 49.8 meningkat berbanding 48.9 pada suku kedua, yang menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur dalam sektor pembuatan," tambah TA Securities.


Firma itu menjangka sektor pembuatan akan terus menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, melengkapi sektor perkhidmatan yang menjadi pemacu utama ekonomi tahun ini.


Sumbangan pertumbuhan sebenar namun mungkin sederhana disebabkan asas perbandingan tinggi pada 3Q24, berbanding pertumbuhan 5.6% tahun ke tahun, yang membayangi momentum pemulihan sebenar.


Keyakinan dalam kalangan pengilang Malaysia jelas TA Securities, diramalkan mampu meningkat pada September 2025, disokong oleh jangkaan permintaan lebih kukuh dan pelancaran produk baharu.


"Tahap keyakinan dapat mencapai paras tertinggi sejak Februari 2025, sekali gus menandakan prospek pengeluaran lebih cerah untuk tempoh 12 bulan akan datang," kata firma berkenaan. - DagangNews.com