Sektor pembuatan Malaysia stabil pada September disokong sentimen lebih baik, tekanan kos rendah - S&P Global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia stabil pada September disokong sentimen lebih baik, tekanan kos rendah - S&P Global

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Okt - Sektor pembuatan Malaysia menunjukkan tanda-tanda kestabilan pada September tahun ini, dengan keadaan operasi kekal tidak berubah, menurut data terkini Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia S&P Global.

 

PMI utama mencatatkan 49.8, sedikit di bawah paras 50.0 yang memisahkan pertumbuhan daripada penguncupan.

 

“Data terkini menunjukkan pertumbuhan KDNK pada suku ketiga meningkat sedikit berbanding suku sebelumnya, serta memberi petunjuk kepada peningkatan berterusan dari tahun ke tahun dalam data rasmi pengeluaran pembuatan,” kata S&P Global dalam satu kenyataan.

 

Antara perkembangan utama pada bulan yang dikaji ialah pengurangan kecil dalam tahap pengeluaran, sekali gus menamatkan tempoh pertumbuhan.

 

Beberapa firma dalam tinjauan menyatakan barangan siap tidak terjual, menyumbang kepada output yang perlahan, dengan indeks output terlaras mengikut musim jatuh sedikit di bawah paras neutral 50.0.

 

“Hasilnya, stok barangan siap , menamatkan tempoh 38 bulan penurunan inventori pasca pengeluaran,” katanya.

 

Terdapat juga peningkatan kecil dalam tempahan baharu pada September, bagi bulan kedua berturut-turut.

 

“Di mana tempahan baharu meningkat, firma menyebut pelancaran projek baharu dan keyakinan pelanggan yang lebih tinggi, terutamanya dalam ekonomi domestik. 

 

"Pertumbuhan perniagaan baharu secara keseluruhan direkodkan walaupun terdapat penyederhanaan pertama dalam tempahan eksport baharu dalam tiga bulan, berikutan laporan panel mengenai permintaan yang lembap di pasaran utama termasuk AS, Eropah dan rantau Asia-Pasifik," katanya.

 

Permintaan yang stabil itu memberi sedikit tekanan kepada kapasiti operasi, sekali gus penurunan kerja tertunggak bagi tempoh 13 bulan.

 

Namun begitu, dari sudut yang kurang positif, tahap penggajian terus menurun, menandakan bulan ketiga berturut-turut berlaku pengurangan pekerjaan.

 

Kadar inflasi kos input pula perlahan ke tahap paling sederhana sejak April 2022, sekali gus mengurangkan beban kepada firma.

 

Keadaan ini sebahagian besarnya dikaitkan dengan tekanan harga bahan mentah yang semakin reda.

 

Sementara itu, pengeluar barangan Malaysia mencatatkan kenaikan lebih sederhana dalam perbelanjaan operasi sepanjang September.

 

“Kenaikan terbaru harga input hanyalah kecil dan yang paling lemah direkodkan dalam tempoh lima bulan. Walaupun beberapa syarikat menyebut kesan daripada cukai yang lebih tinggi, sebahagiannya diimbangi harga bahan mentah yang lebih rendah," katanya.

 

Pengilang juga mengulas mengenai kemerosotan prestasi vendor untuk kali ketiga dalam tempoh empat bulan pada September.

 

“Panjangnya masa penghantaran hanyalah sedikit, tetapi ia dikaitkan dengan kesesakan pelabuhan dan kelewatan penghantaran," katanya.

 

Dengan peningkatan tempahan baharu dan inflasi kos yang semakin reda, keyakinan perniagaan terhadap prospek setahun akan datang meningkat dengan ketara.

 

Secara keseluruhan, sentimen perniagaan melonjak ke tahap tertinggi dalam tujuh bulan.

 

Tinjauan itu turut menunjukkan potensi peningkatan berterusan dari tahun ke tahun dalam data rasmi pengeluaran pembuatan.- DagangNews.com