KUALA LUMPUR 23 Okt – Malaysia meraih pengiktirafan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert Houngbo yang memuji kepimpinan negara menerajui transformasi kemahiran dunia.
Beliau menyifatkan kejayaan Malaysia dalam penganjuran Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 yang berlangsung selama dua hari sebagai bukti negara ini mampu memimpin agenda kemahiran sejagat.
Selain itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong turut menerima penghargaan beliau sebagai beberapa peneraju yang berwawasan jauh dalam memacu agenda pembangunan pekerja di ASEAN.
“Saya merakamkan penghargaan tinggi kepada kementerian itu di bawah kepemimpinan Sim, yang saya anggap antara menteri tenaga kerja paling dinamik di rantau ini," kata Houngbo dalam kenyataan.
Tambahnya, ia terbukti menerusi penganjuran Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025 yang mencerminkan komitmen Malaysia sendiri dalam memperkasakan tenaga kerja ASEAN menghadapi cabaran masa depan.
Beliau turut menegaskan iltizam ILO bekerjasama dengan Malaysia dan ASEAN melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya tahan serta mampu menyesuaikan dengan perubahan global yang pesat.
GSF 2025, diadakan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan AYOS 2025, menjadi platform utama menghimpunkan komuniti dunia memacu transformasi kemahiran serta masa depan pekerjaan.
Ia diterajui Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan kerjasama Sekretariat ASEAN, ILO dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE).
Acara julung kali berlangsung di luar Geneva itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menekankan usaha strategik ASEAN mengukuh ekosistem kemahiran serantau.
Artikel berkaitan: Pelaburan kemahiran 'kunci' pekerjaan adil jangka panjang - Pertubuhan Buruh Antarabangsa

“Dengan kemahiran tepat, generasi muda mampu memangkin kemakmuran, bukan sahaja di ASEAN, malahan global,” ujar Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal Serta Vokasional (TVET) Negara itu.
Beliau menegaskan pelaburan dalam pembangunan kemahiran bukan sekadar langkah ekonomi, tetapi strategi sosial dan kemanusiaan memastikan rakyat bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Justeru dengan bertemakan 'Peranan Transformasi Sektor Swasta dalam Pembangunan Kemahiran: Pemacu Inovasi dan Impak', GSF 2025 berjaya menghimpunkan hampir 600 peserta dari seluruh dunia.
Sementara itu, Sim pula dalam ucapan alu-aluannya menegaskan yang pekerja pada zaman ini perlu kekal sebagai nadi kepada kemajuan ekonomi dalam era transformasi digital dan automasi dunia.
“Pekerja ialah pencipta nilai ekonomi kita. Pencapaian dinikmati sepanjang 100 tahun lalu bukan sahaja dipertahankan, bahkan mesti terus mara ke hadapan, menghadapi dinamik baharu,” katanya.
GSF 2025 jelas beliau, tidak sekadar sebagai acara tahunan, sebaliknya tonggak utama kepada AYOS 2025, yang menyatukan kerajaan, majikan, pekerja dan institusi latihan di seluruh rantau ini.
Forum itu memberi tumpuan kepada langkah kerajaan, majikan dan institusi latihan merangka strategi berpusatkan manusia menangani perubahan teknologi, pasaran buruh serta cabaran global kompleks.
Antara detik penting ialah ikrar komitmen Malaysia terhadap pembangunan kemahiran masa depan ASEAN dan dunia, dengan matlamat mengukuh kerjasama, masyarakat ke arah ekonomi mampan berdaya saing.
Ia berakhir hari ini dengan Majlis Makan Malam Gala yang meraikan kejayaan tujuh platform utama AYOS 2025 dan menandakan kemuncak usaha Malaysia dalam agenda kemahiran global. - DagangNews.com








