Pelaburan kemahiran 'kunci' pekerjaan adil jangka panjang – Pertubuhan Buruh Antarabangsa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelaburan kemahiran 'kunci' pekerjaan adil jangka panjang – Pertubuhan Buruh Antarabangsa

AHMAD Zahid Hamidi (depan empat dari kiri) memegang plakad selepas perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Okt – Penekanan tegas terhadap keperluan pelaburan strategik dalam pembangunan kemahiran dan pembelajaran sepanjang hayat, mampu menjamin masa depan pekerjaan yang lebih adil.


Demikian disuarakan Ketua Pengarah Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Gilbert F Houngbo sambil menyifatkan dunia pada ketika ini berada di titik perubahan ketara dalam sektor pekerjaan sejagat.


Dalam ucapannya, beliau menyatakan yang teknologi semasa, perubahan demografi, peralihan digital dan hijau sedang merombak cara manusia belajar, bekerja serta menghasilkan nilai hidup masyarakat.


“Transformasi ini membawa peluang besar, tetapi jika pekerja dan perusahaan sendiri belum lagi dibekalkan dengan kemahiran yang sesuai, jurang ketidaksamaan akan semakin melebar,” ujarnya.


Houngbo berkata demikian pada Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid hari ini.



Artikel berkaitan: Kemahiran 'mata wang' masa depan, Malaysia sedia terajui agenda serantau

 

GSF
GILBERT Houngbo ketika berucap sebelum perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad



Acara itu dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan kerjasama ILO dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE), serta disokong oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).


Turut hadir ialah Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong; Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan dan Naib Presiden Pertubuhan Majikan Antarabangsa, Matthias Thorns.


Mengulas lanjut, beliau turut memuji kepimpinan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 yang berjaya mengelolakan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 (AYOS), terutamanya di bawah teraju menteri berkenaan.


"Saya menyifatkan beliau (Sim) sebagai antara menteri buruh paling dinamik dan berpandangan jauh di rantau Asia Tenggara termasuk menggerakkan HRD Corp bagi mengemudi pelbagai program," jelasnya.


Menurut Houngbo, pembangunan kemahiran adalah teras kepada masa depan kerja berteraskan manusia serta menyeru kerjasama erat antara kerajaan, majikan dan pekerja menjayakan sistem latihan adil.

 

GSF
AHMAD Zahid Hamidi (empat dari kiri) meletakkan tangan sebagai gimik perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Selain itu, beliau menggariskan tiga bidang utama yang perlu diberikan perhatian untuk tindakan bersama antaranya inovasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dalam penyampaian latihan.


Di samping itu tambahnya, inklusiviti yang merentas gender, status pekerjaan dan lokaliti perlu diterapkan, manakala pelaburan mampan wajar ada dalam sistem kemahiran sektor awam dan swasta.


Dalam pada itu, Sim ketika menyampaikan ucapan alu-aluan menyambut baik kedatangan pemimpin ILO tersebut ke Malaysia buat pertama kali sejak negara ini menyertai organisasi berkenaan pada 1957.


“Beliau bukan sekadar membaca statistik, tetapi mendengar degupan jantung para pekerja di seluruh dunia,” katanya, merujuk kepada kepimpinan Houngbo dalam mendepani pelbagai isu globalisasi.


Ini jelasnya, termasuk peralihan kepada sistem automasi yang mengurangkan kebergantungan majikan kepada penggunaan ramai buruh lebih sedekad lalu dan trend ketidaktentuan pekerjaan abad ke-21.
 

GSF
STEVEN Sim ketika berucap sebelum perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Sim turut menyentuh beberapa isu dalam dunia kerjaya hari ini, antaranya keperluan membela nasib pekerja gig, serta cabaran pendidikan tinggi yang ketinggalan berbanding keperluan industri moden.


Pada masa sama, beliau menekankan mengenai keperluan usaha pembudayaan pembelajaran yang secara berterusan meliputi semua lapisan masyarakat bagi membantu pekerja kurang atau tiada kemahiran.


Tambahnya, revolusi Industri (IR) 4.0 yang muncul pada 2011, tidak boleh hanya mengenai teknologi, namun ia mesti menjadi revolusi kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).


"Secara am, masa depan industri moden itu sendiri menuntut kepada aspek kemahiran praktikal dalam kalangan pekerja, bukan sekadar teori,” jelas Sim yang begitu prihatin berhubung isu berkenaan.


Sehubungan itu, beliau mendedahkan kejayaan Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) yang dianjurkan sejak 2023, dengan tahun ini menyaksikan penyertaan hampir empat juta orang dalam lebih 73,000 kursus.
 

GSF
SEKUMPULAN pengunjung bergambar di papan tanda Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad



Program tahunan anjuran HRD Corp itu katanya, membuktikan kemahiran percuma termasuk dalam bidang AI, teknologi digital dan kemahiran insaniah mampu menambah baik prestasi pekerja di Malaysia.


Sim turut berkongsi pendekatan Malaysia melalui agensi itu yang berjaya menarik minat negara jiran seperti Indonesia, Myanmar, Timor-Leste dan Kemboja untuk mengadaptasi pula model seumpamanya.


Usaha tersebut katanya, berupaya meningkatkan pembangunan modal insan mereka sendiri kerana rantau Asia Tenggara berpotensi dalam jangka panjang dengan mempunyai populasi lebih 700 juta orang.


“Bayangkan satu pasaran tenaga kerja ASEAN berkemahiran tinggi, dengan budaya, bahasa dan tradisi yang hampir sama. Inilah visi kita untuk ASEAN sebagai rantau paling mahir di dunia,” katanya.


Justeru, Sim mengakhiri ucapan dengan menyatakan GSF bukan acara bersendirian, tetapi kemuncak kepada AYOS 2025 yang berjaya merintis pelbagai inisiatif pelaburan pembangunan modal insan.


GSF 2025 berlangsung selama dua hari, menghimpunkan lebih 1,000 perwakilan dari 30 negara termasuk pembuat dasar dan pemain industri, merangka masa depan sistem kemahiran dunia. - DagangNews.com