Kemahiran 'mata wang' masa depan, Malaysia sedia terajui agenda serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kemahiran 'mata wang' masa depan, Malaysia sedia terajui agenda serantau

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) diapit Steven Sim Chee Keong (kiri) dan Gilbert Houngbo (kanan) meletakkan tangan sebagai gimik perasmian Forum Kemahiran Global (GSF) 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Okt - Kemahiran merupakan 'mata wang' sebenar masa depan menghadapi perubahan landskap pekerjaan global, dipacu kemajuan teknologi, ekonomi hijau dan dinamik perdagangan.


Perkara tersebut ditegaskan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, hari ini.


Beliau menyifatkan acara berlangsung buat julung kali di luar Geneva itu sebagai detik bersejarah bukan sahaja bagi Malaysia, malah seluruh rantau ini bersempena Tahun Kemahiran ASEAN (AYS) 2025.


“Ini bukan sekadar acara, tetapi momen bersejarah. Sejak menyertai Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 1957, inilah kali pertama Ketua Pengarahnya secara rasmi melawat Malaysia,” katanya.


Beliau merujuk kedatangan Gilbert Houngbo yang pernah berkunjung ke negara ini lebih 15 tahun lalu ketika berucap kepada ratusan delegasi kesemua negara anggota ASEAN dan perwakilan antarabangsa.



Artikel berkaitan: Pelaburan kemahiran 'kunci' pekerjaan adil jangka panjang - Pertubuhan Buruh Antarabangsa
 

gsf
AHMAD ZAHID Hamidi ketika berucap merasmikan Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad



GSF dianjurkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), dengan kerjasama ILO dan Pertubuhan Majikan Antarabangsa (IOE), serta disokong oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma).


Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menekankan yang isu pembangunan kemahiran bukan lagi bersifat agenda domestik sesebuah negara, tetapi kini berubah sebagai tanggungjawab global perlu dipikul bersama. 


Menurut beliau, dunia hari ini sedang menyaksikan perubahan secara ketara terhadap 'masa depan pekerjaan' yang semakin ditentukan oleh faktor kemajuan teknologi pintar dan keperluan lestari.


“Kecerdasan buatan (AI) kini bukan hanya di makmal. Ia berada di bilik darjah, bilik mesyuarat dan perusahaan kecil. Namun, teknologi tidak boleh menggantikan pertimbangan manusia," tegasnya.


Ahmad Zahid menambah, ia termasuk sifat belas kasihan dan hati nurani, sambil turut mengingatkan mengenai keperluan pendidikan dan pembangunan kemahiran yang masih berteraskan nilai kemanusiaan.

GSF
AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) bergambar selepas merasmikan Forum Kemahiran Global (GSF) 2025, di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad

 

Beliau turut memberi amaran jika pembangunan kemahiran diabaikan, ia boleh mewujudkan pula jurang sosial baharu antara masyarakat berkemahiran, sekali gus memberi kesan terhadap daya saing negara.


Di bawah kerangka Malaysia Madani, kerajaan menurutnya, sedang berusaha melaksanakan reformasi secara menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).


Selaku Pengerusi Majlis TVET Negara, beliau menambah, penekanan kepada pembelajaran sepanjang hayat, integrasi teknologi, dan pembinaan karakter rakyat yang beretika turut perlu dihayati.


“Kita tidak boleh membina bandar pintar tanpa warga bijaksana. Inovasi mesti digandingkan dengan inklusiviti. Pekerja bukan hanya penggerak ekonomi, mereka pemegang harapan masa depan,” katanya.


Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menegaskan mengenai pembangunan modal insan perlu sentiasa kekal sebagai agenda pusat dalam perancangan utama dasar negara dan bukan lagi diletakkan di pinggiran.

 

GSF
AHMAD ZAHID Hamidi (tengah) menyaksikan penyerahan cenderamata oleh Steven Sim (kiri) kepada Gilbert Houngbo di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Justeru, beliau menyatakan keyakinan yang ASEAN, dengan lebih 700 juta penduduk, majoriti berusia kurang 35 tahun, sebenarnya memiliki potensi untuk muncul sebagai kuasa besar kemahiran global.


Impian berkenaan jelas beliau, boleh direalisasikan dengan baik sekiranya pelaburan strategik dilaksanakan dalam bidang latihan, pengiktirafan silang kemahiran, dan mobiliti pekerja.


Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 tambah beliau, menggariskan beberapa keutamaan termasuk pengukuhan sistem kemahiran negara yang selari dengan Revolusi Industri 4.0 dan ekonomi hijau.


"Negara ini juga membuka peluang penambahbaikan kemahiran kepada golongan wanita, belia, orang kurang upaya (OKU) dan pekerja sektor tidak formal atau gig agar mereka lebih berjaya," jelasnya.


Ahmad Zahid turut berharap ada pengiktirafan kemahiran merentas sempadan bagi membolehkan tenaga kerja ASEAN bergerak sebagai satu pasukan serantau dengan kerjasama sektor swasta diperlukan.

 

GSF
SEORANG delegasi berjalan melintasi papan tanda bergambar Forum Kemahiran Global di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad


Dalam ucapannya itu, beliau menegaskan kerajaan tidak boleh melaksanakan agenda kemahiran secara solo, dan peranan swasta amat kritikal sebagai pencipta bersama modal insan dan pemangkin inovasi.


Beliau memberi contoh model HRD Corp berasaskan sistem levi sebagai pendekatan berkesan majikan memainkan peranan aktif merancang dan membiayai latihan kemahiran mengikut keperluan industri.


Sektor swasta bukan hanya penerima manfaat pekerja mahir, tetapi rakan kongsi dalam pembangunan negara kerana setiap pelaburan dalam kemahiran adalah dalam daya saing dan kesejahteraan bersama.


“Kisah kemahiran bukan sekadar mengenai kerja, tetapi soal maruah, nilai diri belia yang belajar, pekerja yang memimpin masyarakat, dan negara yang percaya kepada rakyatnya,” ujar Ahmad Zahid.


Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru GSF 2025 menjadi titik perubahan sejati menyatukan sektor awam, swasta dan komuniti global memperjuangkan masa depan pekerjaan beretika dan dipacu nilai.


Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Ketua Pegawai Eksekutif HRD Corp, Dr Syed Alwi Mohamed Sultan dan Naib Presiden Pertubuhan Majikan Antarabangsa, Matthias Thorns. - DagangNews.com