IGB REIT diyakini catat prestasi lebih baik pada FY25 selepas untung bersih 4QFY24 meningkat - Affin Hwang | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IGB REIT diyakini catat prestasi lebih baik pada FY25 selepas untung bersih 4QFY24 meningkat - Affin Hwang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Jan - IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) diyakini mencatatkan prestasi lebih baik selepas mencatatkan untung bersihnya bagi suku tahun keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) mencatatkan peningkatan luar biasa, kata Affin Hwang. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "pegang" ke atas kumpulan itu, dengan harga sasaran terbitan model diskaun dividen (DDM) yang disemak semula sebanyak RM2.25 berbanding RM2.26 sesaham sebelumnya.

 

Ia juga mengubah unjuran pendapatan seunit (EPU) 2025-2026 selepas mengemas kini keputusan tahun penuh 2024.

 

"Antara pemangkin utama REIT termasuk pendapatan lebih kukuh daripada jangkaan manakala risiko lain adalah seperti pertumbuhan ekonomi yang perlahan, pendapatan yang lebih lemah dan kenaika kadar dasar semalaman (OPR) melebihi jangkaan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, IGB REIT yang menguruskan Mid Valley Megamall menyaksikan untung bersihnya meningkat lebih tiga kali ganda tahun ke tahun (y-o-y) bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) kepada RM319 juta walaupun pendapatan susut 0.1% kepada RM158.3 juta.

 

Pendapatan hartanah bersih adalah sebanyak RM107.9 juta, yang menurun 6.4% dari tahun ke tahun berbanding dengan suku tahun sebelumnya sebanyak RM115.2 juta.

 

Amanah pelaburan itu mengaitkan jumlah hasil dan pendapatan bersih yang lebih rendah terutamanya kepada pendapatan sewa yang dikurangkan dan perbelanjaan operasi hartanah yang lebih tinggi pada 4QFY24, sambil menunjuk kepada perubahan nilai saksama bersih sebanyak RM233.5 juta berhubung dengan hartanah pelaburannya untuk lonjakan pendapatan.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, keputusan IGB REIT sejajar dengan anggaran firma dan konsensus, kerana keuntungan bersih yang direalisasikan pada 2024 mewakili 98% daripada ramalan pendapatan tahun penuh firma dan 96% daripada unjuran konsensus.

 

Selepas keputusan setahun penuh, firma itu telah memperkenalkan ramalan EPU 2027.

 

"Kami menjangkakan IGBREIT akan menyampaikan pertumbuhan teras tahunan EPU sebanyak 1.7% hingga 7.4% sepanjang 2025-2027 berdasarkan pendapatan sewa yang lebih tinggi daripada pengembalian sewa Mid Valley Megamall (MVM) yang lebih kukuh berikutan konfigurasi semula melibatkan penyewa utamanya, Metrojaya," katanya. - DagangNews.com