iCents peroleh subkontrak pembangunan dua projek pusat data bernilai RM20.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

iCents peroleh subkontrak pembangunan dua projek pusat data bernilai RM20.3 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR Feb 16iCents Group Holdings Berhad memperoleh tender bernilai keseluruhan RM20.26 juta bagi melaksanakan kerja-kerja subkontrak untuk pembangunan dua projek pusat data (DC).


Menurut kumpulan perkhidmatan kejuruteraan tersebut, surat penganugerahan (LOA) kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, VC Engineering Sdn Bhd pada 13 Februari 2026.


Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan menambah, kedua-dua LOA tersebut diterima daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan yang tidak dinamakan dengan lokasi tidak dinyatakan.


"Skop kerja ditawarkan meliputi pembekalan, penghantaran, pemasangan, ujian dan pentauliahan serta penyelenggaraan sistem penyaman udara dan pengudaraan mekanikal bagi projek DC itu," kata iCents.


Nilai setiap LOA berkenaan jelasnya, adalah sebanyak RM10,132,126, menjadikan jumlah keseluruhan kontrak RM20,264,252, dengan kedua-dua projek tersebut dijangka dapat siap pada 20 Ogos 2026.


Dari segi kesan kewangan, penerimaan LOA itu tidak memberi sebarang impak terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat, selain tiada kesan terhadap aset bersih sesaham serta tahap gear.


Bagaimanapun, projek berkenaan tambah iCents, dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 sehingga projek siap.


"Lembaga Pengarah turut berpandangan yang kontrak baharu tersebut adalah dalam urusan perniagaan biasa dan wajar dilaksanakan demi kepentingan terbaik kumpulan berkenaan sendiri," katanya.


Menurut syarikat itu lagi, tiada sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung melibatkan pengarah, pemegang saham utama mahupun pihak berkaitan dalam LOA dan projek berkenaan. - DagangNews.com