HLIB Research optimis prospek MN Holdings FY2027 disokong buku tempahan tertinggi RM1.7 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HLIB Research optimis prospek MN Holdings FY2027 disokong buku tempahan tertinggi RM1.7 bilion

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Jun - MN Holdings Bhd dijangka mencatat pertumbuhan pendapatan yang kukuh, disokong oleh buku tempahan pada paras rekod RM1.7 bilion serta peningkatan penglibatan dalam projek pusat data dan infrastruktur grid Tenaga Nasional Bhd (TNB), menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "Belii" ke atas saham MN Holdings dengan harga sasaran RM3.28, sambil melihat potensi semakan naik terhadap unjuran pendapatan sekiranya pelaksanaan projek berjalan lancar dan kekangan kewangan dapat dikurangkan.

 

Menurut HLIB, trajektori pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan 2027 (FY2027) adalah jelas berikutan buku tempahan yang berada pada paras tertinggi dalam sejarah syarikat serta campuran projek yang semakin berkualiti.

 

"MN Holdings kini mempunyai buku tempahan bernilai RM1.7 bilion setakat Mei 2026, meningkat ketara berbanding RM1.1 bilion ketika memasuki FY2026.

 

"Daripada jumlah itu, projek berkaitan pusat data menyumbang kira-kira 70%, berbanding sekitar 40% pada awal FY2026," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

Firma itu berkata, peningkatan saiz buku tempahan dan peratusan projek pusat data yang mempunyai tempoh pelaksanaan lebih pantas dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan secara berterusan dalam beberapa suku akan datang apabila kontrak-kontrak baharu memasuki fasa pelaksanaan.

 

Projek Berkaitan TNB

HLIB menganggarkan kira-kira RM1.19 bilion atau 70% daripada buku tempahan semasa akan direalisasikan dalam FY2027, sekali gus memberikan keterlihatan hasil yang tinggi kepada syarikat.

 

Selain itu, MN Holdings turut berada dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan rancangan pengembangan infrastruktur penghantaran elektrik oleh TNB.

 

Buku tender kumpulan kini berjumlah RM3.6 bilion dengan projek berkaitan TNB mewakili 64% daripada keseluruhan saluran tender.

 

Menurut firma penyelidikan itu, TNB dijangka melaksanakan antara empat hingga lima projek Pencawang Masuk Utama (PMU) 500kV pada tahun ini, jauh lebih tinggi berbanding kebiasaan satu atau tiada projek yang dianugerahkan setiap tahun.

 

"Projek PMU 500kV menawarkan nilai kontrak yang lebih besar, melebihi RM500 juta berbanding sekitar RM200 juta bagi projek PMU 275kV konvensional, sekali gus membuka peluang pertumbuhan yang lebih signifikan kepada pemain industri seperti MN Holdings," katanya.

 

Dalam segmen pusat data pula, HLIB berkata, syarikat itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai kontraktor pilihan bagi projek yang memerlukan pelaksanaan pantas.

 

Sejak Januari 2026, MN Holdings berjaya memperoleh kontrak bernilai RM390 juta daripada tiga pelanggan dari negara Barat yang berbeza, sekali gus mencerminkan keyakinan pelanggan terhadap keupayaan pelaksanaan projek syarikat.

 

Sehubungan itu, HLIB mengunjurkan keuntungan bersih teras MN Holdings meningkat kepada RM105.6 juta dalam FY2026 sebelum berkembang lagi kepada RM113.6 juta pada FY2027. - DagangNews.com