Saham Elsa meningkat 8.7% kepada 25 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Elsa meningkat 8.7% kepada 25 sen pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Sepanjang sesi awal dagangan, saham Elsa bergerak dalam julat 25 sen hingga 27.5 sen sebelum stabil sekitar 26 sen selepas lebih 35 juta unit saham bertukar tangan
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Saham Elsa Bhd dibuka pada 25 sen, meningkat 8.7% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 23 sen sesaham, ketika memulakan dagangan sulungnya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Sepanjang sesi awal dagangan, saham Elsa bergerak dalam julat 25 sen hingga 27.5 sen sebelum stabil sekitar 26 sen selepas lebih 35 juta unit saham bertukar tangan.

 

Dengan pergerakan harga tersebut, nilai pasaran syarikat dianggarkan sekitar RM140 juta berdasarkan harga dagangan terkini.

 

Elsa ialah syarikat perkhidmatan medan minyak yang memberi tumpuan kepada penyediaan kepakaran teknikal dalam bidang kejuruteraan petroleum, geosains serta pengoptimuman pengeluaran minyak dan gas.

 

Selain itu, syarikat turut memperluas perkhidmatannya ke arah teknologi digital, infrastruktur teknologi maklumat serta penyelesaian berasaskan robotik dan pengurusan tenaga kerja.

 

Kumpul RM27.23 Juta Untuk Pengembangan Teknologi Robotik Dan Digital

Melalui IPO ini, Elsa berjaya mengumpul sebanyak RM27.23 juta dan akan menumpukan kepada pengembangan kapasiti operasi termasuk perkhidmatan minyak dan gas serta penyelesaian digital. 

 

Sebanyak RM16.38 juta disasarkan untuk perbelanjaan berkaitan perundingan bagi menyokong pelaksanaan projek dalam segmen tersebut. 

 

Sementara itu, RM3 juta diperuntukkan bagi pembangunan dalaman keupayaan pengurusan AUV, manakala RM1.4 juta digunakan untuk pembelian lapan dron canggih bagi kerja pemeriksaan struktur kompleks serta pemantauan pelepasan gas rumah hijau. 

 

Baki dana akan digunakan sebagai modal kerja serta kos penyenaraian.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Urusan Elsa Berhad, Daniel Ilham Khong berkata penyenaraian syarikat itu di Pasaran ACE membolehkan Elsa mempercepatkan pengembangan teknologi dalam sektor perkhidmatan minyak dan gas bersepadu (OGSE).

 

“Walaupun perkhidmatan minyak dan gas tradisional masih menjadi asas perniagaan, syarikat kini giat memperkukuh penyelesaian berasaskan digital dan robotik bagi merebut peluang bernilai tinggi khususnya dalam kerja-kerja pemeriksaan dasar laut serta integriti aset. 

 

“Rangkaian saluran paip bawah laut Malaysia yang luas memerlukan pemeriksaan berasaskan data secara berterusan dan Elsa berada pada kedudukan baik untuk memenuhi permintaan tersebut melalui teknologi Kenderaan Bawah Air Autonomi (AUV) serta model kerjasama operasi yang dimiliki,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Teknologi AUV Dan Dron

Bagi prestasi perniagaan, segmen robotik dan kejuruteraan mencatat pertumbuhan ketara dengan hasil meningkat 235.4% kepada RM26 juta pada tahun kewangan 2025, selain mencatat margin keuntungan kasar kumpulan sebanyak 23.02%. 

 

Elsa turut berjaya melaksanakan teknologi AUV bagi pemeriksaan lebih 215 kilometer saluran paip gas bawah laut, sejajar dengan potensi pasaran Malaysia yang dianggarkan mempunyai sekitar 12,000 kilometer infrastruktur subsea. 

 

Setakat ini, kumpulan itu disokong oleh 269 lesen kelulusan kerja dan peralatan yang diiktiraf (SWEC) PETRONAS serta mempunyai 140 projek aktif dengan nilai baki kontrak RM636.03 juta dan nilai tempahan tetap RM265.45 juta.

 

Selain itu, Elsa juga sedang membida beberapa tender baharu bagi mengukuhkan lagi aliran pendapatan masa hadapan. - DagangNews.com