KUALA LUMPUR 16 Jun - Sektor pelancongan domestik Malaysia mencatat prestasi kukuh pada 2025 dengan jumlah perbelanjaan pelancong domestik meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion berbanding RM106.7 bilion pada 2024.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata pertumbuhan itu disokong oleh peningkatan perbelanjaan sama ada oleh pelancong mahupun pelawat harian, masing-masing meningkat 14.6 peratus dan 12.2 peratus.
Perbelanjaan pelancong kekal sebagai penyumbang utama dengan 59.5 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan pelawat domestik.
Bilangan keseluruhan pelawat turut meningkat 11.5 peratus kepada 290.1 juta pada 2025 berbanding 260.1 juta pada tahun sebelumnya, manakala purata tempoh penginapan turut bertambah kepada 2.56 malam berbanding 2.49 malam, sekali gus menunjukkan peningkatan aktiviti perjalanan domestik serta tempoh percutian yang lebih panjang.
Corak perjalanan terus menunjukkan kebergantungan tinggi kepada pengangkutan darat yang merangkumi 97.5 peratus daripada keseluruhan perjalanan domestik.
Menginap bersama saudara-mara dan rakan-rakan kekal sebagai pilihan penginapan paling popular iaitu 56.2 peratus, namun penggunaan penginapan berbayar meningkat kepada 43.8 peratus berbanding 39.6 peratus pada 2024, dengan hotel menyumbang 23.1 peratus.
Corak perbelanjaan dan tujuan perjalanan
Dari segi tujuan perjalanan, lawatan ke keluarga dan rakan menjadi penyumbang terbesar pada 35.6 peratus, diikuti aktiviti membeli-belah pada 24.6 peratus.
Membeli-belah turut mencatat perbelanjaan tertinggi iaitu 36.9 peratus, mendahului makanan dan minuman sebanyak 16.1 peratus serta bahan api kenderaan sebanyak 13.5 peratus.
Dari sudut destinasi, Selangor kekal negeri paling banyak dikunjungi dengan 36.4 juta pelawat, diikuti Kuala Lumpur dengan 35.1 juta pelawat dan Perak sebanyak 23.6 juta pelawat.
DOSM berkata prestasi kukuh itu dipacu oleh perjalanan sempena musim perayaan dan cuti umum, kempen pelancongan negeri, serta festival kebudayaan seperti Kaamatan di Sabah dan Gawai Dayak di Sarawak.
Ia turut merangkumi penganjuran konsert berskala besar, pameran dan acara sukan, selain peningkatan perjalanan perniagaan berkaitan mesyuarat ASEAN.
Secara keseluruhan, DOSM berkata pertumbuhan dalam bilangan pelawat, perbelanjaan dan tempoh perjalanan mencerminkan permintaan kukuh terhadap pelancongan domestik serta sumbangannya yang berterusan kepada aktiviti ekonomi dan pembangunan tempatan. - DagangNews.com








