Mahmud Abu Bekir mohon gugur, tangguh saman Cahya Mata sehingga kemukakan afidavit jawapan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahmud Abu Bekir mohon gugur, tangguh saman Cahya Mata sehingga kemukakan afidavit jawapan

Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib

KUALA LUMPUR 16 Jun - Dato Sri Mahmud Abu Bekir Taib memohon supaya saman yang difailkan terhadapnya oleh Cahya Mata Sarawak Bhd (Cahya Mata) digugurkan atau ditangguhkan, dengan Mahkamah Tinggi membenarkan beliau mengemukakan afidavit jawapan sebelum prosiding disambung semula untuk arahan lanjut pada 29 Jun ini.

 

Pesuruhjaya Kehakiman Zaleha Mohd Yusuf Pan pada Isnin membenarkan permohonan itu selepas peguam bela defendan memohon masa tambahan bagi menjawab afidavit bantahan plaintif yang panjang serta isu-isu yang dibangkitkan di dalamnya.

 

Mahkamah mengarahkan defendan memfailkan afidavit jawapan pada atau sebelum 24 Jun 2026, menurut laporan The Borneo Post.

 

Cahya Mata telah menyerahkan afidavit bantahan bersama Notis Hasrat Mengguna Afidavit bertarikh 10 Jun 2026 pada 9 Jun lalu.

 

Bagi menyokong permohonan untuk menggugurkan dan/atau menangguhkan saman itu, Mahmud Abu Bekir turut memfailkan afidavit sokongan, sijil segera serta Notis Hasrat Mengguna Afidavit, kesemuanya bertarikh 29 Mei 2026.

 

Mahkamah turut membatalkan tarikh pengurusan kes yang sebelum ini ditetapkan pada 18 Jun.

 

Dakwaan Salah Urus

Saman tersebut difailkan oleh Cahya Mata terhadap Mahmud Abu Bekir atas dakwaan salah urus maklumat sensitif syarikat.

 

Pertikaian itu berpunca daripada ketegangan lembaga pengarah selepas beliau diturunkan pangkat daripada timbalan pengerusi kepada sekadar pengarah syarikat.

 

Mahmud Abu Bekir diwakili peguam Satinder Singh Sandhu, manakala Cahya Mata diwakili pasukan guaman yang diketuai Alvin Chong.

 

Sebelum ini, pada 19 Mei, mahkamah menetapkan tarikh pengurusan kes berhubung permohonan injunksi Cahya Mata serta mengarahkan Bekir memfailkan afidavit bantahan pada 29 Mei, manakala Cahya Mata diarahkan memfailkan afidavit balasan pada 12 Jun.

 

Cahya Mata turut memohon injunksi bagi menghalang Mahmud Abu Bekir daripada, antara lain, menghadiri mesyuarat lembaga pengarah dan mendedahkan maklumat sulit syarikat kepada pihak ketiga sementara menunggu penyelesaian kes tersebut. - DagangNews.com