KUALA LUMPUR 16 Jun - Kementerian Kewangan (MOF) telah mengesan ketidakaturan dalam proses perolehan tender kerajaan menerusi amalan menetapkan spesifikasi tender yang memihak kepada vendor tertentu, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
Beliau berkata, terdapat beberapa insiden yang menunjukkan bahawa walaupun proses tender pada peringkat awal kelihatan kompetitif, penilaian dari aspek kewangan dan teknikal akhirnya menyebabkan hanya satu syarikat layak kerana spesifikasi yang ditetapkan telah disesuaikan untuk memihak kepada vendor tertentu.
Menurut beliau, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah menghentikan amalan rundingan terus bagi perolehan tender kerajaan.
“Kini, hampir semua perolehan dilaksanakan melalui tender. Namun, seperti yang kita tahu, rakyat Malaysia boleh menjadi sangat kreatif apabila semua perolehan dibuat secara tender.
“Kami melihat banyak kes di mana tender kelihatan baik di atas kertas, tetapi selepas penilaian kewangan dan teknikal dibuat, hanya satu pembida yang tinggal kerana semua spesifikasi telah disusun untuk memihak kepada satu vendor,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Badan Berkanun Malaysia 2026 di sini pada Isnin.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr Mohd Bakhari Ismail dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.
Hadir sama Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) merangkap Presiden Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PBBM), Profesor Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin serta Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Mengulas lanjut, Johan berkata isu itu telah dikesan berulang kali di beberapa agensi dan Perdana Menteri mengambil pendirian tegas terhadap perkara tersebut.
“Saya tidak akan menyebut perkara ini jika ia hanya berlaku sekali. MOF memantau isu ini dan ia berlaku di pelbagai agensi termasuk MOF sendiri. Dalam hal ini, Perdana Menteri mengambil pendirian tegas sebagai sebahagian daripada agenda memperbaharui tadbir urus perolehan kerajaan,” katanya.
Johan berkata kerajaan telah meluluskan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 yang memperkukuh akauntabiliti serta tindakan penguatkuasaan.
“Sebelum ini, isu perolehan kerajaan dianggap sekadar perkara pentadbiran. Jika seseorang telah bersara, tiada tindakan boleh diambil terhadap mereka. Namun kini, dengan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan, saya sendiri tidak akan terlepas walaupun selepas bersara.
“Saya juga boleh dikenakan tindakan jika melakukan sebarang penyelewengan dalam perolehan kerajaan. Itu antara pendekatan untuk memperkukuh peraturan dan tadbir urus perolehan,” katanya.
Sementara itu, Johan berkata badan berkanun berfungsi sebagai institusi penting dalam landskap pentadbiran dan pembangunan negara.
“Peranan yang dimainkan bukan sahaja melibatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, malah memacu pembangunan ekonomi negara, inovasi, pendidikan, pelaburan dan kesejahteraan sosial,” tambah beliau.
Bertemakan ‘Badan Berkanun dan Aspirasi Nasional: Membentuk Masa Depan’, persidangan yang dianjurkan oleh PBBM dengan kerjasama MPOB dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu menjadi platform strategik bagi membincangkan peranan badan berkanun dalam menyokong agenda pembangunan negara melalui pengukuhan tadbir urus, kepimpinan, transformasi organisasi, reformasi sektor awam dan pendigitalan perkhidmatan. - BERNAMA








