BRDB, IJM Land dan Sena Letrik antara pelanggan baharu, Kerjaya Prospek raih kontrak RM1.6 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BRDB, IJM Land dan Sena Letrik antara pelanggan baharu, Kerjaya Prospek raih kontrak RM1.6 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Jun – Kejayaan Kerjaya Prospek Group Bhd memperluaskan asas pelanggan menerusi pengambilan kontrak baharu akan mengukuhkan lagi kedudukan syarikat dalam sektor pembinaan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pelanggan sedia ada sahaja, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata perkembangan ini penting ketika kumpulan mula menunjukkan keupayaan menjana projek daripada pelanggan luar kumpulan secara lebih aktif.

 

“Momentum pertumbuhan itu turut disokong oleh prestasi kukuh syarikat yang kini merekodkan nilai kontrak baharu sekitar RM1.6 bilion setakat tahun kewangan 2026 yang menghampiri sasaran dalaman sebanyak RM2 bilion, malah lebih hampir kepada unjuran RHB Research sekitar RM2.3 bilion bagi tempoh sama.

 

“Kerjaya Prospek berjaya menambah sekurang-kurangnya tiga pelanggan baharu dalam tahun kewangan semasa termasuk projek daripada pemaju luar seperti Sena Letrik dan IJM Land, yang menunjukkan usaha syarikat memperluaskan portfolio pelanggan di luar kumpulan berkaitan.

 

“Langkah ini penting kerana sekitar 70 hingga 80 peratus buku tempahan syarikat masih datang daripada pihak berkaitan seperti Kerjaya Prospek Property dan Eastern & Oriental (EAST). Oleh itu, pertambahan pelanggan baharu dilihat mampu mengurangkan kebergantungan kepada sumber dalaman tersebut,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Ketika ini, Kumpulan mempunyai buku tempahan kira-kira RM4.5 bilion yang memberikan keterlihatan pendapatan stabil untuk beberapa tahun akan datang dan turut menyokong jangkaan keuntungan yang lebih konsisten dalam jangka sederhana.


Kekalkan Saranan “Beli” Dengan Harga Sasaran RM3.19

RHB Research mengekalkan saranan “Beli” terhadap saham Kerjaya Prospek dengan harga sasaran RM3.19, yang mencerminkan potensi kenaikan sekitar 41 peratus berdasarkan harga semasa. 

 

Syarikat juga dijangka mengekalkan hasil dividen sekitar 5 hingga 6 peratus bagi tempoh ramalan akan datang.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM529 juta bina lapan blok vila mewah di Bukit Tunku

 

Dalam perkembangan terbaharu, Kerjaya Prospek berjaya memperoleh kontrak bernilai RM529 juta daripada BRDB Developments Sdn Bhd bagi projek pembangunan kediaman mewah dikenali sebagai Eden Taman Duta di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Projek ini merupakan antara pembangunan berprofil tinggi dalam segmen kediaman premium.

 

Projek berkenaan merangkumi lapan blok vila dengan 146 unit keseluruhan di Jalan Gallagher, Bukit Tunku. Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 15 Jun dan akan siap dalam tempoh 33 bulan dari tarikh mula, sekali gus menyumbang aliran kerja jangka sederhana kepada kumpulan.

 

RHB Research menyatakan ini merupakan kontrak pertama KPG daripada BRDB yang membuka peluang hubungan jangka panjang dengan pemaju berkenaan. 

 

Dari sudut margin, RHB Research menjangkakan projek ini akan mencatat margin keuntungan sekitar 8 hingga 10 peratus, selari dengan projek kediaman premium yang lazimnya menawarkan struktur keuntungan lebih baik berbanding projek biasa.

 

Potensi LRT Pulau Pinang Jadi Pemangkin Jangka Panjang

Selain projek sedia ada, pasaran turut memberi perhatian kepada potensi penyertaan Kerjaya Prospek dalam projek infrastruktur besar seperti Projek Transit Aliran Ringan Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai sekitar RM4 bilion.

 

Projek ini dilaporkan masih di peringkat cadangan dan bidaan melalui konsortium bersama SinoHydro Corporation dan Power China Group.

 

Firma tersebut berkata sekiranya berjaya, penglibatan dalam projek LRT tersebut dijangka menjadi pemangkin utama jangka panjang kerana ia akan melonjakkan buku tempahan Kerjaya Prospek secara ketara serta mengukuhkan kedudukan syarikat dalam segmen infrastruktur berskala besar.

 

Namun begitu, RHB Research mengingatkan bahawa risiko utama kekal termasuk kelembapan pasaran hartanah serta tekanan kos bahan binaan yang boleh menjejaskan margin keuntungan projek pada masa hadapan.

 

Secara keseluruhannya, pengembangan pelanggan baharu, aliran kontrak yang kukuh serta potensi penyertaan dalam projek infrastruktur mega terus menyokong prospek positif Kerjaya Prospek. - DagangNews.com