KUALA LUMPUR 16 Jun - Farm Fresh Bhd dijangka terus berhadapan tekanan margin keuntungan dalam tempoh terdekat berikutan peningkatan kos diesel, baja dan komoditi tenusu, di samping pengguna yang semakin berhati-hati berbelanja dalam persekitaran inflasi semasa.
CIMB Securities berkata, faktor tersebut dijangka terus membebani prestasi syarikat tenusu bersepadu itu meskipun prospek pertumbuhan jangka panjang kekal disokong oleh pengembangan kapasiti pengeluaran, inovasi produk dan peluasan pasaran serantau.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan "pegang" terhadap saham Farm Fresh dengan harga sasaran RM2.30.
Menurutnya, harga sasaran itu berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) 28 kali bagi tahun 2027, selaras dengan purata sejarah tiga tahun syarikat.
"Kami berpendapat potensi penarafan semula saham dalam jangka pendek masih terhad disebabkan kos permulaan operasi, susut nilai yang lebih tinggi dan persekitaran kos yang semakin meningkat," katanya dalam nota penyelidikan.
CIMB Securities berkata, Farm Fresh kini menanggung kos penggunaan diesel sekitar RM1 juta sebulan, manakala kos baja turut meningkat dengan ketara.
Pada masa sama, harga susu tepung penuh (whole milk powder) dianggarkan meningkat kepada antara AS$3,500 hingga AS$3,600 satu tan berbanding AS$3,300 satu tan pada 2025.
Potensi Penarafan Semula
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berpandangan potensi penarafan semula saham boleh berlaku sekiranya kemudahan pengeluaran baharu syarikat di Bandar Enstek, Negeri Sembilan mampu menyumbang pendapatan melebihi jangkaan, selain disokong pertumbuhan serantau yang berterusan dan kos input yang lebih rendah.
Kemudahan baharu itu dijadualkan mula beroperasi menjelang suku kedua tahun kewangan 2027 yang berakhir pada 30 September 2026 dan akan menempatkan barisan pengeluaran ais krim produk pengguna berbungkus serta minuman sedia diminum.
Sayap kedua fasiliti tersebut pula akan menumpukan kepada pengeluaran minuman susu berprotein tinggi, jus buah-buahan dan teh dalam botol.
Farm Fresh turut merancang memperluaskan rangkaian produknya kepada sekurang-kurangnya lima kategori daripada tiga ketika ini, termasuk susu ultra suhu tinggi (UHT), mentega, susu tepung skim dan produk susu berprotein tinggi berasaskan teknologi ultra-penapisan.
Cadangan Pengambilalihan Amelia
Dalam perkembangan lain, pengurusan syarikat memaklumkan semasa sesi pelabur di Invest Malaysia 2026 bahawa cadangan pengambilalihan syarikat ais krim berpangkalan di Sabah, Amelia, dijangka dimuktamadkan menjelang suku pertama tahun kewangan berakhir Mac 2027.
Amelia kini menjana hasil tahunan sekitar RM15 juta hingga RM16 juta serta keuntungan selepas cukai sebanyak RM1.5 juta setahun.
Menurut CIMB Securities, pengambilalihan itu akan membolehkan Farm Fresh memperoleh akses kepada lima barisan pengeluaran, 25 trak milik sendiri dan 3,500 peti sejuk beku yang ditempatkan di seluruh Sabah.
Selain itu, syarikat berhasrat memanfaatkan ruang lebihan di kilang Amelia di Taman Perindustrian Kota Kinabalu untuk memasang barisan pengeluaran susu segar dipasteur.
Langkah itu dijangka memperkukuhkan keupayaan Farm Fresh membekalkan produk susu sejuk ke Sabah, Sarawak dan Brunei. - DagangNews.com








