Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM529 juta bina lapan blok vila mewah di Bukit Tunku | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kerjaya Prospek peroleh kontrak RM529 juta bina lapan blok vila mewah di Bukit Tunku

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 JunKerjaya Prospek Group Berhad mengukuhkan kedudukan dalam sektor pembinaan apabila memperoleh kontrak bernilai RM529.3 juta daripada BRDB Developments Sdn Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata kontrak terbaharu yang diraih itu bagi kerja-kerja pembangunan projek vila mewah di Taman Duta, Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

 

Kontrak ini merupakan projek pertama diperoleh daripada BRDB, sekali gus memperluaskan pangkalan pelanggan kumpulan serta mengukuhkan reputasi sebagai kontraktor pilihan bagi hartanah premium.

 

"Tender tersebut dianugerahkan kepada anak syarikat milik penuh, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd, bagi melaksanakan pembinaan lapan blok kediaman mewah merangkumi 146 unit," tambah Kerjaya Prospek.

 

Kumpulan berkenaan menambah, projek itu turut merangkumi dua blok parkir bertingkat, dua aras parkir bawah tanah, pelbagai kemudahan bersama dan sebuah kelab komuniti untuk para penghuni vila.

 

Projek tersebut jelas syarikat pemaju hartanah berkenaan terletak di Jalan Gallagher, Taman Duta serta akan bermula pada 15 Jun 2026 dan dijangka perlu disiapkan segera dalam tempoh 33 bulan.


 

Kerjaya Prospek_DagangNews2026
Gambar hiasan


 

Kerjaya Prospek berkata, kontrak itu dijangka menyumbang hasil bagi tempoh tiga tahun akan datang serta memberi impak positif kepada aset bersih sesaham bagi tahun kewangan berakhir hingga 2029.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Tee Eng Tiong berkata, pelantikan tersebut mencerminkan keyakinan pemaju terkemuka terhadap keupayaan kumpulan dalam menyiapkan projek pembangunan berkualiti tinggi.

 

"Kami berbesar hati diberi kepercayaan BRDB melaksanakan pembangunan berprestij ini dan menandakan permulaan hubungan dengan pelanggan baharu," jelasnya yang juga Pengarah Eksekutif kumpulan itu.

 

Dengan kontrak terbaharu itu ujarnya, jumlah kontrak yang sudah diperoleh Kerjaya Prospek bagi tahun kewangan 2026 (FY26) setakat ini mencatatkan peningkatan kepada kira-kira RM1.6 bilion.

 

Pada masa sama, buku tempahan semasa kumpulan berkenaan turut berkembang pesat kepada RM4.5 bilion, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang lebih kukuh bagi beberapa tahun akan datang.

 

Tender itu tidak memberi kesan terhadap modal saham dengan tiada kepentingan pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan dalam penganugerahan projek berkenaan. - DagangNews.com