Saham Tanco menjunam ke paras terendah 29 bulan selepas had penurunan harga Bursa Malaysia tamat tempoh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Tanco menjunam ke paras terendah 29 bulan selepas had penurunan harga Bursa Malaysia tamat tempoh

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun – Saham Tanco Holdings Bhd kembali merudum pada sesi dagangan Isnin apabila menjunam ke paras terendah dalam tempoh 29 bulan selepas had penurunan harga yang ditetapkan Bursa Malaysia tamat tempoh.

 

Kaunter itu susut sehingga lapan sen atau 40% kepada 12 sen, iaitu paras terendah sejak Januari 2024 sebelum didagangkan pada 14.5 sen setakat pukul 11.30 pagi dengan lebih 284 juta saham bertukar tangan.

 

Tanco turut muncul sebagai saham kedua paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia pada sesi dagangan pagi ketika tekanan jualan terus menghimpit kaunter berkenaan.

 

Kejatuhan terbaharu itu berlaku selepas saham Tanco ditutup tidak berubah pada 20 sen 12 Jun lalu susulan tindakan Bursa Malaysia membekukan had penurunan harga pada paras penutupan hari sebelumnya.

 

Langkah tersebut diambil selepas saham syarikat itu mencatatkan penurunan maksimum yang dibenarkan dalam satu sesi dagangan selama empat hari berturut-turut, memberikan tempoh penstabilan sementara kepada kaunter berkenaan.

 

Menurut peraturan Bursa Malaysia, sekiranya sesuatu saham mencapai had penurunan harga pada satu hari dagangan dan keadaan sama berulang pada hari berikutnya, bursa boleh menetapkan harga lantai pada paras tersebut bagi mengelakkan kejatuhan yang lebih besar.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Saham Tanco jatuh 4 hari berturut-turut, Bursa Malaysia gantung aktiviti jualan singkat

 

Bagaimanapun, sebaik sahaja perlindungan itu tamat tempoh, tekanan jualan kembali memuncak dan menyebabkan harga saham Tanco jatuh mendadak pada sesi dagangan hari ini, lapor The Edge.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Tanco, Datuk Seri Andrew Tan Jun Suan berkata syarikat sedang meneliti punca kejatuhan terbaharu harga sahamnya namun tidak mengulas lanjut mengenai perkara itu.

 

Tanco sebelum ini menjadi perhatian pasaran berikutan kenaikan luar biasa harga sahamnya yang melonjak lebih 600% sejak 2024, mendorong nilai pasarannya melebihi RM10 bilion pada kemuncaknya pada 3 Jun lalu.

 

Namun, kejatuhan mendadak sejak beberapa hari kebelakangan ini telah menghakis lebih 90% daripada nilai pasaran tersebut dengan permodalan pasaran syarikat kini hanya sekitar RM889 juta berdasarkan harga dagangan terkini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kejatuhan mendadak saham Tanco: Pengarah Urusan jual pada harga premium, adiknya beli pada harga rendah

 

Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia turut menunjukkan Andrew Tan aktif memperdagangkan saham syarikat itu dalam beberapa hari kebelakangan ketika aktiviti jualan semakin rancak dalam pasaran.

 

Tanco juga telah menerima dua pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) daripada Bursa Malaysia tahun ini.

 

Pertanyaan terbaharu diterima pada awal Jun susulan pergerakan luar biasa saham syarikat tersebut.

 

Pada 9 Jun lalu, Tanco mengumumkan pemeteraian memorandum persefahaman dengan China Mobile International Ltd bagi meneroka pembangunan pusat data berkapasiti 50 megawatt di Port Dickson, Negeri Sembilan, sehari selepas menerima pertanyaan UMA terbaharu daripada pihak bursa.

 

Sebelum itu, pada April lalu, Bursa Malaysia turut mengemukakan pertanyaan UMA berikutan lonjakan mendadak harga saham Tanco. 

 

Ketika itu, syarikat menjelaskan pergerakan saham berkenaan mungkin dipengaruhi laporan media mengenai cadangan pembangunan pelabuhan kontena di Port Dickson serta menegaskan tiada sebarang perkembangan korporat yang belum diumumkan kepada pasaran. - DagangNews.com