KUALA LUMPUR 15 Jun – East West One Group (EWOG) berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Tinggi yang mengarahkan Pacific Trustees Berhad (PTB) untuk melepaskan dana berjumlah RM6.770 juta bagi tujuan tuntutan berkaitan Program Pemulihan dan Penstrukturan Semula (R&R) estet kelapa sawit di Sabah.
EWOG telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi berhubung isu pelepasan dana tersebut, sebelum mahkamah membenarkan permohonan syarikat itu bagi memastikan dana yang diperuntukkan untuk aktiviti pemulihan ladang dapat disalurkan seperti yang dirancang.
Dalam keputusan itu, mahkamah mendapati PTB gagal mematuhi terma Penghakiman Persetujuan (Consent Judgment) yang telah direkodkan sebelum ini di Mahkamah Tinggi, meskipun EWOG telah mengemukakan tuntutan lengkap bersama dokumen sokongan serta penjelasan yang diperlukan.
Keputusan tersebut dilihat sebagai perkembangan penting dalam usaha mempercepatkan pelaksanaan program R&R yang bertujuan memulihkan produktiviti ladang sawit, melindungi nilai aset serta meningkatkan prospek jangka panjang estet berkenaan.
Seorang jurucakap East West One Group berkata usaha pemulihan masih diteruskan berdasarkan mandat yang diberikan oleh para penanam.
“Program R&R telah dimulakan mengikut mandat yang diberikan oleh penanam. Namun, kelancaran pelaksanaan akhirnya bergantung kepada akses dana yang telah diperuntukkan untuk tujuan ini.
"Ini bukan dana budi bicara. Ia adalah wang yang bertujuan untuk memudahkan pemulihan ladang demi manfaat penanam dan pihak berkepentingan. Setiap kelewatan dalam pelepasan dana yang diluluskan memberi kesan langsung kepada operasi lapangan, meningkatkan kos pemulihan dan memanjangkan tempoh pemulihan,” katanya dalam kenyataan.
Kelewatan Jejas Proses Pemulihan
Beliau berkata keputusan Mahkamah Tinggi mengukuhkan pendirian EWOG bahawa sebarang kelewatan dalam penyaluran dana adalah tidak perlu kerana ia boleh menjejaskan proses pemulihan serta mendedahkan ladang kepada risiko kemerosotan lanjut.
EWOG sebelum ini memaklumkan bahawa kelewatan pelepasan dana telah menjejaskan kelancaran pelaksanaan kerja pemulihan, termasuk aktiviti penting seperti pembajaan, penyelenggaraan ladang, pengurusan saliran serta sokongan tenaga kerja.
Pemulihan ladang sawit turut dianggap kritikal memandangkan sifatnya sebagai aset biologi hidup yang memerlukan pengurusan berterusan, di mana sebarang gangguan pembiayaan boleh memberi kesan langsung kepada hasil dan nilai estet.
Dengan keputusan mahkamah ini, EWOG dijangka dapat mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja pemulihan di bawah program R&R yang telah diluluskan oleh para penanam pada 12 Ogos 2024.
Syarikat itu sebelum ini menegaskan bahawa program R&R mendapat sokongan majoriti penanam sebagai pendekatan paling praktikal untuk memulihkan prestasi ladang serta memastikan pemulihan nilai aset secara berperingkat.
EWOG turut menyatakan komitmen untuk terus melaksanakan semua langkah undang-undang dan operasi bagi memastikan dana pemulihan disalurkan tanpa kelewatan lanjut serta pelaksanaan program berjalan seperti dirancang. - DagangNews.com








