TA Securities naikkan harga sasaran TMK Chemical kepada RM2.62 susulan cadangan pengambilalihan CCM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities naikkan harga sasaran TMK Chemical kepada RM2.62 susulan cadangan pengambilalihan CCM

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 15 Jun — Cadangan pengambilalihan penuh Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM) bernilai RM920 juta berpotensi menjadi titik perubahan terbesar dalam sejarah TMK Chemical Berhad.

 

Menurut analisis TA Securities, transaksi pemerolehan 100% itu dijangka melonjakkan skala operasi, mempelbagaikan sumber pendapatan serta mengukuhkan kedudukannya dalam industri kimia tempatan.

 

Justeru, firma itu mengekalkan saranan 'beli' sambil menaikkan harga sasaran (TP) kepada RM2.62 sesaham berbanding RM2.10 sebelum ini, berikutan potensi strategik susulan pengambilalihan ini.

 

"Kami menilai positif usaha TMK Chemical membeli pegangan dalam CCM daripada Batu Kawan Berhad pada nilai perusahaan indikatif berdasarkan asas bebas tunai dan bebas hutang," jelasnya dalam nota.

 

TA Securities menambah, sebagai sebahagian daripada urus niaga itu, pembayaran akan dibuat melalui gabungan tunai dan penerbitan sejumlah saham baharu kumpulan berkenaan pada harga RM1.90 sesaham.

 

Perkembangan terbaharu itu ujar firma penyelidikan tersebut, dijangka menjadikan Batu Kawan sebagai pemegang saham utama dengan pegangan sekurang-kurangnya 20% dalam kumpulan yang diperbesarkan.

 

Pengambilalihan ini berpotensi menjadi transaksi transformasi bagi TMK Chemical kerana bukan sahaja memperluaskan saiz operasi syarikat, malah menambah portfolio produk dan mengukuhkan aliran hasil.


 

CCM_DagangNews2026

 

Artikel berkaitan: TMK Chemical rancang pengambilalihan 100% CCM dalam urus niaga RM920 juta

 

"Cadangan nilai pengambilalihan ini dilihat munasabah memandangkan CCM dianggarkan mampu menjana keuntungan selepas cukai RM77.6 juta setahun dalam tempoh dua tahun yang lalu," kata TA Securities.

 

Berdasarkan unjuran tersebut, urus niaga pengambilalihan berkenaan mewakili penilaian sekitar 11.9 hingga 12.1 kali keuntungan tahunannya serta nisbah harga kepada nilai buku kira-kira 1.4 kali.

 

Firma itu berkata, CCM turut ada rekod keuntungan konsisten dengan pulangan atas ekuiti (ROE) 13.8% dengan margin keuntungan bersih 11.1%, sekali gus menyokong justifikasi penilaian yang diberikan.

 

Beberapa perkara penting ujar TA Securiies, namun belum dimuktamadkan termasuk struktur pembiayaan, jumlah pinjaman tambahan dan tahap pencairan pegangan saham susulan penerbitan saham yang baharu.

 

"Kami menjangka maklumat terperinci diketahui selepas proses usaha rundingan perjanjian jual beli dimuktamadkan dalam tempoh selama dua bulan yang diberikan kepada TMK Chemical," tambahnya lagi.

 

Selain itu, firma tersebut turut melihat potensi pertumbuhan kumpulan berkenaan melalui penglibatannya dalam rantaian nilai unsur nadir bumi (REE) dan peluang kerjasama lebih rapat dalam ekosistem Lynas.

 

Pengambilalihan CCM, bersama peningkatan pendedahan kepada sektor REE, berpotensi memperkukuh kedudukan pasaran serta membuka ruang penilaian semula lebih tinggi kepada saham syarikat. - DagangNews.com