Caj RM1 pengeluaran tunai antara bank di ATM dimansuhkan mulai 1 Julai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Caj RM1 pengeluaran tunai antara bank di ATM dimansuhkan mulai 1 Julai

Mesin pengeluaran wang automatik di Terminal Bersepadu Selatan.
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Jun - Bank-bank di Malaysia akan memansuhkan caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin kitar semula pintar (SRM) atau mesin deposit tunai di seluruh negara berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.

 

Langkah itu diumumkan menerusi kenyataan bersama oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Perbankan dan Institusi Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM).

 

Menurut kenyataan itu, inisiatif yang dilaksanakan dengan kerjasama Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) akan membolehkan pemegang kad debit membuat pengeluaran tunai tanpa had di ATM dan SRM bank yang mengambil bahagian tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.

 

Ini bermakna pelanggan boleh mengeluarkan wang tunai di mana-mana ATM atau SRM bank yang mengambil bahagian tanpa mengira bank yang mengeluarkan kad debit mereka.

 

Persatuan berkenaan berkata, pemansuhan caj tersebut bertujuan meningkatkan akses kepada perkhidmatan perbankan serta mengurangkan kos yang ditanggung pengguna untuk mendapatkan wang tunai.

 

Katanya, walaupun penggunaan pembayaran digital terus berkembang, wang tunai masih memainkan peranan penting sebagai medium transaksi bagi sebahagian besar rakyat Malaysia.

 

“Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha industri perbankan untuk menyediakan perkhidmatan kewangan yang lebih mudah diakses dan inklusif, di samping membantu mengurangkan kos sara hidup serta perbelanjaan harian pengguna,” menurut kenyataan itu.

 

ABM, AIBIM dan ADFIM berkata, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank turut mencerminkan komitmen berterusan industri perbankan dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kewangan yang lebih mudah, boleh dipercayai dan mampu milik.

 

“Selaras dengan usaha ini, pemansuhan caj pengeluaran tunai antara bank di ATM mencerminkan komitmen industri dalam memastikan akses yang boleh dipercayai, mudah dan mampu milik, sambil membantu meringankan beban kewangan harian rakyat,” katanya.

 

Langkah tersebut dijangka memberi manfaat kepada jutaan pemegang kad debit di seluruh negara, khususnya mereka yang kerap menggunakan ATM bank lain untuk mengeluarkan wang tunai dan sebelum ini perlu menanggung caj tambahan bagi setiap transaksi. - DagangNews.com