Malaysia beli kapal MPCP dari Turkiye ganti Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia beli kapal MPCP dari Turkiye ganti Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah

Contoh kapal MPCP buatan Turkiye.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 15 JUN – Sebuah lagi kapal baharu akan diterima TLDM apabila kerajaan bersetuju membeli kapal pemerintah pelbagai guna (MPCP) bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah (PL TSR) yang telah ditamatkan operasinya.

 

PL TSR mula beroperasi pada 31 Julai 2015 dan ditamatkan operasinya minggu lalu selepas hampir sedekad berkhidmat di perairan Sabah Timur.

 

Pangkalan statik tersebut dikendalikan oleh Markas Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Bagi merealisasikan projek berkenaan, kerajaan akan melaksanakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Turkiye menerusi pendekatan kerjasama kerajaan kepada kerajaan (G2G).

 

Kapal
Gambaran grafik sebuah kapal MPCP.

 

Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), keputusan itu dibuat bagi memastikan kawalan keselamatan maritim negara terus berada pada tahap tertinggi, khususnya di kawasan strategik Sabah Timur.

 

MKN memaklumkan, perolehan MPCP diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dan menjadi antara projek utama kerajaan dalam memperkukuhkan keselamatan sempadan negara.

 

Bagaimana pun, kos pembelian tersebut tidak dinyatakan.

 

“MoU antara kerajaan Malaysia yang diwakil oleh Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin dengan Turkiye yang diwakili oleh Mustafa M. Seker, Vice President of System and Platform Secretariat of Defence Industry (SSB).

 

“Penggantian PL TSR dengan kapal MPCP mengambil kira landskap keselamatan semasa serta kos penyelenggaraan pangkalan laut tersebut yang semakin tinggi.

 

Kapal

 

Kapal

 

“Kapal baharu itu berkonsepkan mobiliti tinggi, dilengkapi teknologi moden serta mampu beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan berbanding pelantar statik sebelum ini,” ujar kenyataan itu.

 

MKN menjelaskan, pemilihan Turkiye dibuat berdasarkan kemajuan dan kematangan industri pertahanan negara itu.

 

Kerjasama tersebut turut merangkumi aspek pemindahan teknologi, pelaburan fasiliti di Malaysia serta pertukaran kepakaran antara kedua-dua negara.

 

Platform MPCP akan berfungsi sebagai pangkalan hadapan bergerak yang mampu meningkatkan keupayaan pengawasan di sepanjang perairan Sabah Timur.

 

Kapal

 

Ia akan dilengkapi radar pengawasan jarak jauh selain aset tanpa pemandu seperti Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan Unmanned Surface Vehicle (USV).

 

Menurut MKN, keupayaan itu membolehkan pelbagai operasi penguatkuasaan maritim dilaksanakan secara lebih agresif dan berkesan di kawasan berisiko tinggi.

 

 

 

 

 

 

Kapal MPCP juga akan menyokong kerjasama pelbagai agensi termasuk ESSCOM, APMM, polis Marin, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

 

TLDM akan menerajui operasi kapal berkenaan bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kepentingan ekonomi negara di perairan Sabah Timur terus terpelihara. - DagangNews.com