KUALA LUMPUR 15 Jun — Pantheon Macroeconomics menjangka defisit fiskal bagi 2026 boleh mencecah 4.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih tinggi berbanding sasaran rasmi iaitu 3.5%.
Menurut firma berpangkalan di Britain itu, perbelanjaan subsidi bahan api dikhuatiri meningkat, manakala reformasi subsidi sukar dilaksanakan akibat tekanan politik dan membebankan kewangan negara.
Ujarnya, walaupun kerajaan masih ada pilihan untuk mengurangkan subsidi, sebarang langkah dilihat sukar dibuat kerajaan kerana manfaat fiskal semakin kecil berbanding risiko politik yang perlu ditanggung.
"Pilihan politik yang paling berkemungkinan ialah mengekalkan subsidi secara menyeluruh meskipun ia memberi tekanan amat besar terhadap ruang fiskal negara," kata Pantheon dalam nota analisisnya.
Cabaran itu jelasnya, muncul ketika kerajaan berusaha mengurangkan defisit belanjawan berlarutan sejak krisis kewangan Asia lebih dua dekad lalu, dengan sasaran 3% daripada KDNK menjelang 2028.
Kebimbangan berkenaan kata firma penyelidikan tersebut, turut dipengaruhi peningkatan secara mendadak kos subsidi bahan api susulan konflik Timur Tengah yang mula tercetus pada akhir Februari 2026.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, perbelanjaan subsidi itu naik hampir 10 kali ganda kepada lebih RM7 bilion pada April sebelum susut kepada kira-kira RM3.5 bilion pada Mei.
"Walaupun pasaran bon tidak terkesan dengan kemungkinan penyimpangan sasaran fiskal, peningkatan hutang awam boleh mengehadkan keupayaan kerajaan menghadapi kejutan ekonomi masa depan," jelasnya.
Keadaan negatif itu ujar Pantheon, mungkin mengurangkan lagi pembiayaan ke atas projek pembangunan negara, kerana setakat Jun 2025, hutang statutori Malaysia sudah pun mencecah 64% daripada KDNK.
Jumlah itu hampir kepada had siling 65% yang ditetapkan di bawah undang-undang, dan apabila hutang yang dijamin kerajaan diambil kira, jumlah keseluruhan dianggarkan melebihi 80% daripada KDNK.
Firma penyelidikan itu memberi amaran yang kegagalan mengawal perbelanjaan subsidi boleh membawa implikasi jangka panjang secara lebih serius termasuk risiko penarafan kredit negara diturunkan.
"Malaysia perlu mengurangkan beban subsidi besar bagi menyediakan ruang untuk pembangunan masa depan. Kelemahan ini boleh meningkatkan kos pinjaman jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








