KUALA LUMPUR 15 Jun — Powerwell Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukannya dalam rantaian bekalan infrastruktur pusat data (DC) apabila meraih kontrak pembekalan bernilai hampir RM159 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata tender baharu berkenaan melibatkan kerja-kerja membekal dan menghantar papan suis voltan rendah bagi sebuah projek DC di Johor.
Surat penganugerahan (LOA) kontrak diperoleh anak syarikat milik penuhnya, Kejuruteraan Powerwell Sdn Bhd, dengan bertarikh 11 Jun 2026 daripada sebuah kontraktor antarabangsa yang terkemuka.
"Tender berkenaan mempunyai nilai keseluruhan mencecah sebanyak RM158.82 juta termasuk cukai jualan dan dijangka disempurnakan dalam tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac 2027," jelas Powerwell.
Di samping itu kumpulan tersebut menambah, perolehan kontrak terbaharu itu dijangka dapat memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih syarikat berkenaan bagi tahun kewangan 2027.
Menurutnya, skop kerja akan melibatkan pembekalan dan penghantaran papan suis voltan rendah yang merupakan komponen kritikal dalam projek pembangunan sistem pengagihan tenaga untuk sesebuah DC.
Lembaga Pengarah Powerwell berpandangan kontrak itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan mampu mengukuhkan kedudukan dalam segmen rumusan tenaga serta infrastruktur digital yang pesat.
"Syarikat ini turut memaklumkan tidak menjangkakan sebarang risiko luar biasa daripada kontrak tersebut selain risiko operasi biasa yang lazim dalam pelaksanaan projek pembekalan," tambahnya.
Pada masa sama, tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang mempunyai kaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.
Perolehan itu ujar Powerwell, sejajar pertumbuhan pesat pembangunan DC di Johor yang menarik pelaburan syarikat teknologi global serta permintaan terhadap peralatan pengagihan tenaga. - DagangNews.com








