Green Tree Plantation sasar kutipan RM75,000 menerusi pameran Forest Speaks bagi projek pemulihan hutan Sungai Buaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Green Tree Plantation sasar kutipan RM75,000 menerusi pameran Forest Speaks bagi projek pemulihan hutan Sungai Buaya

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jun – Usaha pemulihan alam sekitar di Sungai Buaya, Selangor kini memasuki fasa baharu apabila pameran ‘Forest Speaks’ digunakan sebagai mekanisme kutipan dengan sasaran dana RM75,000 bagi memperkukuh projek pemulihan hutan itu.

 

Setakat ini, hampir 8,000 pokok telah ditanam merangkumi 153 spesies oleh Green Tree Plantation Sdn Bhd dengan sasaran tambahan 8,500 pokok melalui kutipan dana yang bakal diperoleh hasil pameran tersebut.

 

Inisiatif pameran seni dan kutipan dana itu dianjurkan oleh penggiat alam sekitar dan jurugambar, David Lok, menerusi Green Tree Plantation yang sejak beberapa tahun lalu aktif melaksanakan kerja pemulihan hutan di kawasan berkenaan.

 

Pameran Forest Speaks adalah inisiatif kutipan dana awam pertama syarikat itu yang menggabungkan seni, perabot dan karya berasaskan elemen hutan sebagai pendekatan alternatif dalam menyokong pembiayaan pemulihan ekosistem.

 

Projek berkenaan dijalankan di Sungai Buaya yang terletak kurang satu jam dari Kuala Lumpur, melibatkan kawasan hutan yang sebelum ini terjejas akibat aktiviti pembangunan dan gangguan manusia.

 

Sejak penubuhannya pada 2023, Green Tree telah menanam hampir 8,000 pokok melibatkan 153 spesies, termasuk 18 spesies yang dikategorikan sebagai terancam dan kritikal di Malaysia.

 

Usaha tersebut turut dilaksanakan dengan kerjasama komuniti Orang Asli serta mendapat sokongan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor, selain diiktiraf oleh kerajaan negeri sebagai sebahagian usaha pemulihan landskap hijau negeri.

 

t
David Lok menyiapkan lampu yang diperbuat dari hasil hutan Sungai Buaya untuk dipamerkan dalam Forest Speak

 

t

 

David yang juga pengasas Green Tree berkata pendekatan pemulihan hutan memerlukan komitmen jangka panjang serta model yang melibatkan komuniti dan sektor swasta secara berterusan.

 

“Pemulihan hutan bukan sekadar menanam pokok tetapi satu proses jangka panjang yang memerlukan kesabaran dan penyertaan komuniti. Apa yang berlaku di Sungai Buaya menunjukkan bahawa alam boleh pulih apabila diberi masa dan penjagaan secukupnya.

 

“Pameran Forest Speaks menjadi platform untuk mendekatkan masyarakat dengan usaha pemulihan alam sekitar melalui pendekatan seni yang lebih mudah difahami dan dihayati,” katanya.

 

Pameran tersebut akan berlangsung di Studio DL, Petaling Damansara, Petaling Jaya bermula 26 Jun hingga 5 Julai 2026, dan dibuka kepada orang ramai secara percuma dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang setiap hari.

 

Hampir 100 karya seni dan perabot akan dipamerkan serta ditawarkan untuk jualan dengan semua hasil jualan disalurkan terus ke dana pemulihan hutan Green Tree Plantation.

 

Selain itu, Green Tree turut menyasarkan projek berkenaan sebagai model rintis pemulihan hutan berasaskan komuniti dan pembiayaan swasta yang boleh direplikasi di kawasan lain di Malaysia pada masa hadapan. - DagangNews.com