KUALA LUMPUR 15 Jun — Samaiden Group Berhad menamatkan dua memorandum persefahaman (MoU) yang berkaitan dengan cadangan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) dan kelestarian di Kemboja.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pemberhentian tersebut dibuat setelah dua inisiatif berkenaan gagal mencapai kemajuan yang membolehkan perjanjian muktamad dimeterai.
Justeru ujar kumpulan itu, anak syarikat tidak langsungnya, Samaiden Energy (Cambodia) Co Ltd, mengeluarkan notis penamatan bagi kedua-dua MoU itu yang akan berkuat kuasa pada 12 Julai 2026.
"MoU pertama dimeterai pada April 2023 yang melibatkan Royal Group Co Ltd, Management Venture Asia (Cambodia) Ltd (MVA) dan Panna Energy Sdn Bhd bagi meneroka pembangunan RE," jelas Samaiden.
Di samping itu jelasnya, perjanjian tersebut meliputi projek ekonomi mampan di kawasan tanah tidak dimanfaatkan di sepanjang koridor landasan kereta api dikendalikan Royal Railway PLC di Kemboja.
Sementara itu, MoU kedua yang ditandatangani pada Mei 2023 bersama Mong Sotheary Trading Co Ltd (MST), MVA dan Panna bertujuan mengkaji serta membangunkan projek biogas di wilayah Preah Sihanouk.

Menurut Samaiden, keputusan menamatkan dua kerjasama itu selepas tiada kontrak muktamad dimeterai dalam tempoh ditetapkan dan projek tidak mencapai sebarang pencapaian penting sejak dimulakan.
"Selain itu, tiada peluang lain dalam sektor RE dan kelestarian, manakala keputusan berkenaan dibuat setelah ia mengambil kira kepentingan terbaik kumpulan," kata kenyataan syarikat tersebut.
Bagi projek biogas, kumpulan itu sebelum ini perlu menyediakan kepakaran kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), manakala MST menawarkan akses tanah serta isu kelulusan projek.
MVA dan Panna pula tambah Samaiden, dijangka memainkan peranan dalam aspek pembangunan projek, khidmat perundingan perniagaan serta sokongan pembiayaan sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja.
Bagaimanapun, ia menegaskan penamatan itu tidak memberi kesan material terhadap pendapatan, aset bersih atau tahap penggearan kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026. - DagangNews.com








