KUALA LUMPUR 23 Jan - Pendapatan Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) berpotensi menaik 14% dan diramalkan menjana dividen sebanyak 8% untuk tahun kewangan 2025 (FY25), kata RHB Investment Bank (RHB Research).
Firma penyelidikan itu berkata, pengambilalihan Menara CelcomDigi dan pemerolehan pajakan baharu Menara Shell yang menyumbang 5% daripada portfolio kawasan boleh disewa bersih (NLA) mampu mengukuhkan hasil kumpulan itu.
Katanya, keputusan FY24 Sentral REIT sejajar dengan jangkaannya, memberikan keuntungan teras sebanyak RM79.8 juta, pertumbuhan 8% tahun ke tahun.
"Pengambilalihan Menara CelcomDigi dan kadar sewa yang lebih tinggi daripada hartanah Cyberjaya mendorong pendapatan Sentral REIT meningkat sebanyak 19%.
"Bagaimanapun, kadar penghunian REIT turun kepada 84% daripada 89% pada FY23 akibat tamat tempoh penyewaan di Menara Shell pada pertengahan 2024.
"Akibatnya, pengagihan seunit (DPU) untuk FY24 turun 5% kepada 6.36 sen, mencerminkan asas saham yang lebih besar dan kadar penghunian yang lebih rendah," katanya dalam satu nota penyelidikan, hari ini.
Namun begitu, firma penyelidikan itu optimis tentang keupayaan Sentral REIT untuk mendapatkan pembaharuan pajakan pada FY25.
RHB Research mengekalkan saranan "beli"ke atas saham Sentral REIT dengan harga sasaran (TP) 91 sen.
Sentral REIT juga telah mengambil langkah untuk mengukuhkan strategi kumpulan dengan memasuki pengaturan swap kadar faedah, menukarkan RM317 juta hutang kadar terapungnya kepada kadar tetap.
"Pelarasan ini meningkatkan bahagian pinjaman kadar tetap kepada 51%, memastikan struktur pembiayaan yang lebih stabil.
"Walaupun langkah ini boleh mengakibatkan kumpulan melepas peluang penjimatan kos faedah jangka pendek, ia mencerminkan tumpuan pengurusan terhadap kestabilan kewangan jangka panjang," katanya.
Berikutan keputusan FY24, RHB Research telah menurunkan sedikit unjuran pendapatan FY25 sebanyak 2% selepas menggandaikan penyelarasan sewa.
Walaupun begitu, firma penyelidikan itu berpendapat Sentral REIT bersedia untuk tahun yang lebih baik, disokong oleh pengurusan pajakan yang proaktif dan hasil dividen yang teguh, menjadikannya pilihan yang menarik untuk pelabur yang mementingkan pendapatan. - DagangNews.com








