Hasil Encorp merosot 11% kepada RM92.6 juta pada FY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Encorp merosot 11% kepada RM92.6 juta pada FY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 24 Feb – Encorp Berhad menutup tahun kewangan 2025 dengan hasil sebanyak RM92.6 juta, susut 11% berbanding RM104 juta pada tahun sebelumnya.

 

Syarikat pembangunan hartanah itu merekodkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM8.6 juta berbanding keuntungan RM6.1 juta pada FY2024.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Encorp berkata penurunan prestasi ini kerana tiada pengurangan kos undang-undang seperti sebelum ini dan projek pembangunan hartanah berjalan lebih perlahan pada suku terakhir.

 

“Untuk suku keempat FY2025, hasil Encorp merosot kepada RM19.2 juta berbanding RM25.5 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya. 

 

“Segmen pembangunan hartanah kekal menguntungkan dengan keuntungan sebelum cukai RM4.2 juta, dipacu oleh projek Tilia di Shah Alam dan Lamanda Chuping Fasa 1. 

 

“Walaupun prestasi segmen ini lebih sederhana berbanding tahun lalu, ia menunjukkan kesinambungan projek pembangunan utama syarikat,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Segmen hartanah pelaburan mencatat peningkatan hasil, didorong oleh kenaikan kadar sewa di Strand Mall dan Warna Avenue. Sewa Strand Mall meningkat daripada RM1.64 per kaki persegi kepada RM2.03 per kaki persegi, manakala Warna Avenue naik daripada RM2.02 kepada RM2.27 per kaki persegi.

 

Ini menyumbang kepada pengurangan kerugian segmen daripada RM9.3 juta kepada RM5.9 juta bagi keseluruhan tahun.

 

Segmen konsesi pula mencatat hasil RM7.6 juta, lebih rendah berbanding RM10.1 juta pada tahun sebelumnya. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Encorp, Ahmad Harzimi Mohd Taib berkata FY2025 merupakan tahun peralihan bagi syarikat, di mana tumpuan diberikan kepada penstabilan projek pembangunan dan pengukuhan aliran pendapatan tetap. 

 

“Walaupun prestasi keseluruhan lebih sederhana, projek pembangunan utama masih aktif dan menunjukkan momentum positif.

 

“Projek Tilia, yang terdiri daripada 112 rumah super link dua tingkat di Shah Alam, dijangka siap pada suku pertama 2026 dan terus menyumbang kepada pengiktirafan pendapatan syarikat. 

 

“Projek Lamanda Chuping Fasa 2 dijangka memasuki peringkat perancangan dan menumpukan kepada pembangunan rumah kos sederhana,” katanya.

 

Encorp juga mengekalkan komitmen terhadap pembangunan mesra alam dengan projek Balau Residences memperoleh pensijilan GreenRE Provisional Silver. Inisiatif ini sejajar dengan usaha syarikat untuk menekankan pembangunan lestari dan meningkatkan reputasi hartanahnya.

 

Segmen hartanah pelaburan dijangka terus pulih dengan peningkatan aktiviti penyewa dan inisiatif pengoptimuman sewa. Syarikat merancang untuk menambahbaik campuran penyewa dan melaksanakan langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan pendapatan berulang daripada hartanahnya.

 

Dengan strategi pengurusan kos yang ketat, pelaksanaan projek pembangunan yang fokus, dan inisiatif pemulihan sewa, Encorp yakin dapat memperkukuh kedudukan kewangan serta kembali ke trajektori keuntungan yang lebih stabil pada tahun-tahun akan datang. - DagangNews.com