Harga tiga bidang tanah Genting Plantations melebihi nilai pasaran, dijual pada RM333.8 juta - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga tiga bidang tanah Genting Plantations melebihi nilai pasaran, dijual pada RM333.8 juta - CIMB Securities

Gambar hiasan dari laman web Genting plantations
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan - Harga jualan tiga bidang tanah minyak sawit Genting Plantations Bhd di Melaka, berjumlah RM333.8 juta itu lebih tinggi daripada nilai pasaran, kata CIMB Securities.

 

Genting Plantations mencadang untuk menjual tanah pertanian pegangan bebas seluas 213.6 hektar kepada anak syarikat Scientex Bhd, Scientex Heights Sdn Bhd.

 

Pelupusan itu menawarkan peluang membuka kunci dan merealisasikan peningkatan modal tanah itu, menghasilkan keuntungan sekali sahaja sebanyak RM284.92 juta, bersamaan dengan 32 sen sesaham.

 

Hasilnya akan digunakan untuk tujuan strategik, termasuk memperoleh ladang kelapa sawit baharu, pembangunan hartanah dan mengurangkan pinjaman luar, dalam tempoh 12-24 bulan selepas pembelian tanah itu telah selesai.

 


Sebagai alternatif, jika hasil digunakan untuk mengurangkan hutang, firma itu menganggarkan keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2025 (FY25) boleh meningkat sebanyak 1.3%.

 


CIMB Securities melihat urus niaga itu secara positif, kerana harga jualan RM14.50 sekaki persegi (psf), bersamaan dengan RM1.6 juta sehektar, mewakili premium berbanding penilaian pasaran bebas sebanyak RM10 psf.

 

"Penjualan itu dijangka menjana keuntungan sekali sahaja sebanyak RM284.9 juta, meningkatkan unjuran keuntungan bersih FY25 sebanyak 92%. Bagaimanapun, keuntungan ini akan diklasifikasikan sebagai bukan teras," katanya dlam satun nota penyelidikan.

 

Firma itu mengekalkan saranan "pegang" terhadap saham Genting Plantations dengan harga sasaran (TP) RM6.21 sesaham.

 

“Penjualan itu akan memberi impak minimum kepada aliran pendapatan masa depan kumpulan daripada aktiviti perladangannya, kerana kawasan tanaman tanah yang dijual menyumbang kurang daripada 1% daripada jumlah kawasan tanamannya di Malaysia.

 

"Selain itu, kumpulan mencatat keuntungan operasi hanya RM1.6 juta pada FY23," katanya.- DagangNews.com