Harga saham Wasco masih rendah dalam sejarah, tidak mencerminkan potensi sebenar - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga saham Wasco masih rendah dalam sejarah, tidak mencerminkan potensi sebenar - CGSI

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Mei – Saham Wasco Berhad dilihat masih lagi rendah dan belum mencerminkan potensi sebenar syarikat walaupun prospek pertumbuhan jangka sederhana kumpulan itu terus semakin kukuh.


Menurut CGS International (CGSI), perkembangan perniagaan syarikat berkenaan disokong 'ledakan' pelbagai projek tenaga, pembangunan semula rantau Timur Tengah dan pusat data (DC) di Malaysia.


Kumpulan tersebut ujar firma penyelidikan itu, ketika ini didagangkan berhampiran paras penilaian paling rendah dalam sejarahnya dengan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi FY26 sekitar 7.7 kali.


"Situasi kali ini menjadikan Wasco antara kaunter sektor minyak dan gas (O&G) yang cukup murah dalam liputan kami sendiri," katanya, sambil mengekalkan saranan 'tambah' ke atas saham syarikat tersebut.


Selain itu, CGSI turut menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM1.75 berbanding RM1.65 sebelum ini, dengan potensi kenaikan kira-kira 68.3% daripada harga semasa pada waktu ini iaitu RM1.04.


Ujarnya, pasaran kini masih belum menilai sepenuhnya prospek pertumbuhan walaupun syarikat itu semakin berjaya meningkatkan kualiti buku tempahan terutamanya dalam segmen peralihan tenaga (ET).


Justeru, ia melihat Wasco sebagai penerima manfaat besar kepada tiga tema pertumbuhan utama iaitu keselamatan tenaga global, pembangunan semula Timur Tengah dan pertumbuhan pesat DC sendiri.


“Kontrak projek berkaitan ET ketika ini sudah menyumbang kira-kira 51% daripada keseluruhan buku tempahan kumpulan setakat 4Q25 berbanding hanya 15% pada 4Q23,” kata CGSI dalam nota analisis itu.
Wasco_DagangNews



Peningkatan fokus terhadap keselamatan tenaga terus menyokong perniagaan termasuk kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) bagi modul proses, pemampat gas serta perkhidmatan salutan paip.


Selain itu, aset strategik Wasco di Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) memberi kelebihan untuk menyertai projek pembangunan semula infrastruktur Timur Tengah apabila keadaan geopolitik kembali stabil.


Tambah CGSI, kumpulan berkenaan juga semakin aktif dalam meneroka projek tenaga boleh diperbaharui (RE), penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) serta infrastruktur modular di peringkat global.


"Kami menjangkakan peluang penambahan banyak kontrak baharu terus kukuh memandangkan syarikat ini sudah memiliki buku tender bernilai kira-kira RM12 bilion setakat suku keempat FY25," katanya.


Dalam perkembangan lain ujarnya, memorandum persefahaman (MoU) antara Wasco dan NMDC Energy bakal membuka laluan kepada kumpulan menceburi segmen pembinaan modular DC di Timur Tengah.


Kata CGSI, kerjasama itu memberi akses kepada syarikat itu terhadap rangkaian pelanggan dan projek NMDC di rantau ini selain memperkukuh kedudukan menerusi fasiliti fabrikasi baharu di Dubai, UAE.


Bagaimanapun, ia menurunkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 sebanyak 23% bagi mengambil kira kelewatan projek akibat faktor ketidaktentuan geopolitik dan tekanan margin susulan inflasi kos.


“Namun pada paras semasa, kami percaya cabaran hasil jangka pendek sudah diambil kira pasaran sedangkan prospek pertumbuhan kukuh masih belum dicerminkan dalam harga saham Wasco,” katanya.


Kumpulan berkenaan ujar firma itu, turut menawarkan hasil dividen menarik sekitar 5% hingga 8% yang disokong kedudukan tunai bersih semakin berkembang positif. - DagangNews.com