KUALA LUMPUR 10 Feb – Pemain industri tempatan menjangkakan sentimen pembeli motosikal mungkin terjejas akibat kenaikan harga tidak dapat dielakkan apabila nilai pasaran terbuka (OMV) yang disemak semula dilaksanakan.
Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) pada bulan lepas memaklumkan bahawa OMV untuk kenderaan yang disemak kembali itu telah ditangguhkan sekali lagi selepas tamat tempoh sepatutnya pada 31 Disember 2024.
Ia menyaksikan duti itu yang dikenali sebagai Peraturan-Peraturan Eksais (Penentuan Nilai Barangan Pengilangan Tempatan untuk Tujuan Mengenakan Duti Eksais) 2019 - kini ditetapkan hanya bermula pada Januari 2026.
Duti tersebut yang turut dirujuk sebagai OMV 402 sepatutnya berkuat kuasa pada 2020 lalu, tetapi 22 hari memasuki tahun Covid-19 itu, MAA mengumumkan bahawa Kementerian Kewangan menunda pelaksanaannya kepada 2021.
Menjelang akhir 2020 lalu, ia ditangguhkan lagi dan pada 2022 pula, MAA berjaya merayu kepada kerajaan untuk penangguhan berterusan, dengan lanjutan tempoh dua tahun diberikan sehingga 31 Disember tahun lepas.
Pemerhati berkata, langkah penangguhan sedemikian sebenarnya membawa kepada situasi ketidakpastian dan tidak baik kerana ia boleh menjejaskan perancangan, unjuran serta operasi yang dialami oleh pemain industri sendiri.
Peraturan yang disemak menetapkan bahawa dalam pengiraan OMV, ia mestilah mengambil kira bukan sahaja keuntungan dan perbelanjaan am ditanggung atau diambil kira dalam pembuatan kenderaan, tetapi juga penjualannya.
Justeru, ini meningkatkan nilai bercukai kenderaan dan membawa kepada harga lebih tinggi, misalnya, motosikal yang pada ketika ini hanya berharga RM10,000, kemungkinan dijual antara RM11,000 dan RM12,000 selepas semakan.
Persatuan Pemasang dan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MASAAM) serta Persatuan Peniaga Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA) membangkitkan kebimbangan pengeluar mungkin bergelut menyerap sepenuhnya duti.
Ini didakwa, berpotensi meningkatkan harga motosikal sehingga 20 peratus, yang bergantung kepada model malah Pengerusi MMSDA, Datuk Wee Hong berkata, peniaga perlu melaraskan harga sewajarnya apabila OMV dilaksanakan.
"Sebagai pengedar, prinsip perniagaan kami adalah berdasarkan harga kos barangan - kalau membeli pada harga yang lebih tinggi, itu bermakna menjual juga pada harga yang lebih tinggi," katanya dipetik daripada Business Times.
Kesannya dijangka paling teruk untuk motosikal pemasangan tempatan (CKD) terutama model berkapasiti kecil di bawah 150cc, kebiasaannya dikenali 'kapcai' kerana ini adalah mod pengangkutan penting kelompok pendapatan B40.
Kebanyakannya bergantung kepada jenis ini untuk bekerja, termasuk dalam ekonomi gig dan beliau menjangkakan, kenaikan harga akan menambah beban kewangan mereka, yang berpotensi menjejaskan mata pencarian.
“Kami sedia bekerjasama dengan pihak berkepentingan dalam industri dan menggesa kerajaan mempertimbangkan keputusan pelanjutan OMV 402, memastikan kestabilan harga dan meminimumkan kesan kepada komuniti itu.
"Peniaga akan memantau permintaan dan perubahan pasaran sambil melaraskan perkhidmatan dan tawaran seperti topi keledar percuma, baju hujan dan faedah lain demi mengurangkan kesan buruk kenaikan harga," tambah Hong.
Presiden MASAAM, Hoo Wan Tim turut menyuarakan kebimbangan sama dengan menekankan bahawa semua pengeluar merasai kesan daripada semakan OMV 402 malah pelanggan menanggung beban teruk kenaikan harga ini.
"Walaupun pilihan pembiayaan wujud, kos yang lebih tinggi dan syarat kelulusan lebih ketat mungkin mengehadkan jualana," katanya sambil menambah pelarasan OMV akan menjejaskan permintaan motosikal model CKD.
"Ini memberi kesan kepada rangkaian motosikal yang lebih besar, kerana jurang harga antara CKD dan model import sepenuhnya (CBU) akan mengecil serta menghakis kelebihan daya saing pengeluar CKD pada masa ini," tambahnya.
Sementara itu, bagi penganalisis bebas, Hezeri Samsuri, harga motosikal rangka kecil dan skuter dijangka meningkat kepada RM500 hingga RM1,500 dan yang memilih pembelian kredit akan menanggung ansuran bulanan naik kurang RM100.
"Walaupun ini mungkin pelarasan kecil, ia masih memberi impak besar kepada B40, kerana isu keterjangkauan menjadi kebimbangan utama," katanya yang merujuk peniaga ada pilihan terhad kerana kurang motosikal import di pasaran.
Beliau menambah bahawa industri motosikal beroperasi dalam pasaran yang sangat sensitif harga dengan margin keuntungan rendah, bergantung kepada bilangan jualan tinggi untuk mengekalkan perniagaan. - DagangNews.com








