KUALA LUMPUR 16 Feb – Ketidaktentuan harga emas yang memuncak pada akhir Januari 2026 mulai reda, dengan pasaran logam berharga memasuki fasa stabil sepanjang minggu ini, kata MBSB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, situasi tersebut selepas mengalami turun naik ketara sebelum ini, manakala pasaran tenaga pula bergerak dalam julat sempit, yang mencerminkan sentimen lebih berhati-hati.
Keadaan berkenaan tambahnya, disebabkan berlaku lebihan bekalan minyak mentah dan jangkaan harga yang lebih lemah pada 2026 terus menjadi risiko utama kepada sektor tenaga termasuk di Malaysia.
"Emas muncul dengan prestasi terbaik dalam kalangan logam berharga yang mencatat kenaikan sederhana dan beransur pulih daripada penyusutan pada akhir Januari 2026," kata MBSB Research dalam notanya.
Peningkatan tersebut jelas firma berkenaan, dilihat bersifat terkawal, yang menandakan pengumpulan harga secara berperingkat dan bukannya dalam aliran berbentuk permainan spekulasi semata-mata.
Menurutnya, pergerakan itu turut konsisten dengan tindakan pelabur yang mengekalkan pendedahan berwaspada berikutan ketidaktentuan makroekonomi, terutama isu hala tuju kadar faedah dan inflasi.
Sebaliknya jelas MBSB Research, perak terus menunjukkan volatiliti lebih tinggi dengan pemulihan tidak sekata, mencerminkan peranannya secara berganda sebagai aset selamat dan logam industri.
"Bagaimanapun kami mendapati tembaga pula diniagakan dalam julat yang mendatar, dengan lebih dipacu jangkaan permintaan industri berbanding sentimen spekulatif bagi jangka pendek," kata firma itu.
Tidak seperti logam berharga, minyak mentah dan gas asli bergerak dalam julat sempit sepanjang minggu lalu, dengan minyak mentah berlegar antara AS$67 (RM261.24) hingga AS$69 (269.04) setong.
Sementara gas asli pula jelas MBSB Research, diniagakan sekitar AS$3.10 (RM12.08) hingga AS$3.60 (RM14.03) bagi setiap sejuta unit termal British (MMBtu) yang dianggap sebagai paras sederhana.
Justeru, firma penyelidikan tersebut menjangkakan potensi lebihan bekalan minyak mentah pada 2026 boleh mengehadkan kenaikan harga, sekali gus menekan syarikat dalam segmen huluan dan hiliran.
"Berdasarkan perkembangan semasa itu, kami mengekalkan pendirian ‘neutral’ terhadap sektor tenaga berikutan potensi kenaikan yang agak terhad dalam persekitaran harga lebih rendah," tambahnya.
Dalam rantaian nilai tenaga, MBSB Research terus menyukai segmen pertengahan yang lebih stabil, serta pilihan utamanya ialah Dialog Group Berhad dengan saranan ‘Beli’ dan harga sasaran RM2.17.
Tambahnya, walaupun harga saham pemain huluan sudah susut ketara susulan ketidaktentuan termasuk peralihan tenaga bersih dan isu struktur industri, pelabur disaran mengambil pendekatan bersabar.
Mereka jelas firma penyelidikan berkenaan, masih perlu 'tunggu dan lihat' sebelum membuat sebarang pembelian ketika harga saham melibatkan syarikat-syarkat berkenaan dalam keadaan yang rendah.
“Dengan jangkaan harga minyak mentah melemah pada 2026, kami melihat risiko lebihan bekalan akan terus mengekang pemulihan sektor dalam jangka sederhana,” kata MBSB Research. - DagangNews.com








