KUALA LUMPUR 4 Mac – Hap Seng Consolidated Berhad (HSCB) memuktamadkan proses pembubaran secara sukarela ke atas anak syarikat miliknya, Hap Seng Land Development (JTR) Sdn Bhd (HSLD JTR).
Menurut makluman kumpulan konglomerat pelbagai perniagaan tersebut, subsidiari berkenaan yang diperbadankan pada 19 Jun 2007 dan pernah terlibat aktif dalam aktiviti pembangunan hartanah.
Keputusan penggulungan sukarela itu katanya, sudah dimulakan dan dilaksanakan secara berperingkat sejak 30 November 2021 sebelum diselesaikan dengan sepenuhnya pada tarikh pengumuman hari ini.
"Sebelum penggulungan, HSLD JTR mempunyai modal saham terbitan dan berbayar sebanyak RM500,000 yang terdiri daripada sejumlah 500,000 saham biasa," jelas HSCB dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, subsidiari tersebut dari segi struktur kumpulan merupakan anak syarikat milik penuh kepada Hap Seng Land Development Sdn Bhd, yang seterusnya adalah anak syarikat milik penuh HSCB.
Lembaga Pengarah memaklumkan bahawa penggulungan itu tidak memberi sebarang kesan material terhadap pendapatan dan aset bersih Kumpulan Hap Seng bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
Selain itu, syarikat turut mengesahkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak berkaitan memiliki sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak, dalam penggulungan berkenaan.
Pada 5 Jun 2025, satu lagi anak syarikat HSCB, HSC Manchester Holding Pte Ltd dibatalkan pendaftaran oleh pihak berkuasa Singapura, setelah dilaporkan tidak pernah aktif beroperasi sejak 16 Disember 2024.
Subsidiari tersebut diperbadankan di negara berkenaan pada 25 Oktober 2019 sebagai syarikat persendirian berhad dan terlibat dalam aktiviti pegangan pelaburan di republik itu. - DagangNews.com








