KUALA LUMPUR 5 Dis – Usul khas dikemukakan LBS Bina Group Berhad untuk hak pembangunan yang bernilai RM1.216 bilion di Kwasa Damansara diluluskan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM).
Bagaimanapun, hanya seorang pemegang saham yang bertindak menolak resolusi tunggal tersebut dengan individu berkenaan memiliki sekadar 4,000 unit saham dalam ekuiti kumpulan pemaju hartanah itu.
Usahanya yang mewakili kira-kira 0.0005% itu mengakibatkan usul berkenaan gagal mencapai kelulusan sebulat suara apabila hanya mampu meraih 99.9995% sokongan melibatkan sejumlah 810,385,528 saham.
"Resolusi tunggal ini bagi pemerolehan hak pembangunan 11 lot tanah pegangan bebas berkeluasan 78 hektar namun diluluskan melalui undian berkenaan," kata LBS dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
EGM tersebut diadakan di Plaza Seri Setia, Petaling Jaya, Selangor hari ini melibatkan seramai 128 orang pemegang saham selaras dengan notis pemberitahuan awal kumpulan itu bertarikh 20 November 2025.
Artikel berkaitan: Kwasa, LBS bangunkan 2,922 unit kediaman di Kwasa Damansara bernilai RM8.3 bilion
Keputusan rasmi pengundian tersebut jelas LBS, turut disahkan oleh pemeriksa bebas, Scrutineer Solutions Sdn Bhd, yang dilantik syarikat itu sendiri bagi memastikan ketelusan tinggi proses EGM berkenaan.
Usul berkenaan membabitkan pembelian hak pembangunan oleh LBS daripada Kwasa Land Sdn Bhd, serta lima lagi syarikatnya itu yang dikenali sebagai Kwasa Development (5), (6), (8), (9) dan (10) Sdn Bhd.
LBS merancang pembangunan perumahan bercampur di kawasan strategik Kwasa Damansara itu, dan hasil kelulusan ini membuka laluan kepada pengukuhan kedudukan dalam perbandaran utama Lembah Klang.
Harga pembelian tanah yang asalnya berstatus pertanian itu diperoleh dengan pertimbangan RM1.216 bilion serta turut dilihat sebagai adil dengan situasi kadar pasaran hartanah semasa di Selangor sendiri.
Beberapa penganalisis menyifatkan harga tanah dibeli LBS masih munasabah iaitu kira-kira 15 peratus daripada anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kawasan itu RM8.3 bilion. - DagangNews.com








