Kwasa, LBS bangunkan 2,922 unit kediaman di Kwasa Damansara bernilai RM8.3 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kwasa, LBS bangunkan 2,922 unit kediaman di Kwasa Damansara bernilai RM8.3 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Julai – Kwasa Land Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menganugerahkan hak pembangunan kepada LBS Bina Group Bhd untuk projek perumahan bernilai RM8.3 bilion di Kwasa Damansara, Selangor.

 

Perjanjian Hak Pembangunan (Development Rights Agreement) yang dimeterai antara Kwasa Land dan anak syarikat LBS, LBS Kwasa Damansara Sdn Bhd, memberi hak eksklusif kepada LBS untuk membangunkan 192.32 ekar tanah pegangan bebas yang terdiri daripada 11 lot, secara berfasa selama 14 tahun.

 

Projek itu merangkumi pembinaan 2,922 unit kediaman termasuk kondominium bertingkat rendah dan sederhana serta rumah bertanah, yang direka untuk memenuhi keperluan pelbagai segmen pembeli.

 

Pengarah Urusan Kwasa Land, Datuk Adenan Md Yusof berkata, pemilihan LBS dibuat berdasarkan pengalaman dan keupayaan syarikat itu dalam membangunkan perumahan berkualiti yang berfokus kepada komuniti.

 

“Kami gembira dapat bekerjasama dengan LBS yang mempunyai rekod cemerlang dalam pembangunan hartanah.

 

“Kerjasama ini adalah satu permulaan dalam merealisasikan visi Kwasa Damansara sebagai perbandaran lestari dan inklusif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San pula berkata, pembangunan itu selari dengan misi LBS untuk menawarkan komuniti kediaman berkualiti tinggi yang berdaya huni dan berhubung baik.

 

“Dengan pengalaman luas dalam pembangunan perbandaran, kami berhasrat memaksimumkan potensi tanah ini melalui kejiranan mampan yang memenuhi keperluan pembeli masa kini,” katanya.

 

Jumlah keseluruhan nilai hak pembangunan dianggarkan RM1.216 bilion yang sebahagian besarnya adalah kos tanah.

 

Projek tersebut akan dibangunkan di kawasan PJ West dalam Kwasa Damansara, yang turut menempatkan projek Kwasa Community Forest – kawasan hutan komuniti di kawasan perbandaran itu yang bakal dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, denai basikal, pelantar pandangan dan amfiteater.

 

Kwasa Damansara merupakan perbandaran berkeluasan 2,257 ekar yang dirancang berteraskan pembangunan hijau dan berorientasikan transit, dengan akses kepada dua stesen MRT dan lebuh raya utama seperti NKVE, DASH dan GCE.

 

Ia akan menempatkan 25,000 unit kediaman termasuk 10,000 unit rumah mampu milik.

 

Setakat ini, Kwasa Land telah bekerjasama dengan 17 pemaju bagi membangunkan 973 ekar tanah dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM40 bilion.- DagangNews.com