Gold Li meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gold Li meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 4 MacGold Li Holdings Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd hari ini menjelang penyenaraian kumpulan tersebut di Pasaran ACE, Bursa Malaysia.


Ia turut melibatkan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 117 juta saham biasa baharu dan tawaran jualan 36 juta saham sedia ada, mewakili 25.5% daripada modal saham terbitan diperbesarkan.


Di bawah struktur tersebut, 30 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, enam juta saham kepada pengarah dan kakitangan yang layak, manakala selebihnya melalui penempatan persendirian.


"Saham berkenaan bakal ditawarkan kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," kata Gold Li dalam kenyataan hari ini.


M&A Securities akan menaja jamin sebanyak 36 juta saham merangkumi peruntukan kepada awam Malaysia dan individu layak, manakala baki saham akan ditempatkan kepada pelabur terpilih dan Bumiputera.


Pengarah Urusan Gold Li, Datuk Lee Tiau Huat berkata, hasil IPO akan digunakan bagi membiayai kos pembangunan projek hartanah yang sedang dan bakal dilaksanakan serta mengukuhkan modal kerja.


Menurut beliau lagi, penyenaraian tersebut turut menyediakan fleksibiliti kewangan bagi memperluas bank tanah dan membolehkan kumpulan itu beralih kepada pembangunan kediaman bertingkat tinggi.


"Kami berharap dapat mengukuhkan kedudukan dalam pasaran hartanah Johor," katanya. Kumpulan itu yang ditubuhkan pada 1999 dengan memberi tumpuan pembangunan kediaman bertanah di negeri tersebut.


Ia meliputi Muar, Tangkak dan Batu Pahat, manakala setakat 31 Oktober 2025, Gold Li melaksanakan 110 projek kediaman dan komersial, dengan 10 projek sedang berjalan, dan 30 projek akan datang.


Kumpulan berkenaan jelas Tiau Huat, turut memiliki sejumlah 34 bidang tanah untuk pembangunan masa hadapan, dan yakin IPO itu membolehkan kumpulan melaksanakan lebih banyak projek secara serentak.


Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat M&A Securities, Gary Ting berkata, rekod prestasi kumpulan yang melaksanakan lebih 100 projek mencerminkan kekuatan operasi serta penerimaan pasaran di Johor.


Menurut prospektus diterbitkan, sebahagian hasil IPO juga akan digunakan Gold Li untuk menampung perbelanjaan penyenaraian, dengan matlamat mengurangkan kebergantungan kepada pembiayaan luar. 


M&A Securities tambah beliau, akan bertindak sebagai penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO kumpulan tersebut. - DagangNews.com